Kuala Lumpur : Selepas hampir setahun tidak menghasilkan sebarang karya terbaharu, penyanyi dan pempengaruh media sosial, Arul Rasheed kembali mengubati kerinduan peminat menerusi single berjudul Gadis Kebaya Ungu.
Arul atau pemilik nama sebenar Fakhrul Akmal Abdul Rashid, 31, yang memulakan langkah dalam dunia rakaman sejak tahun 2024, mengakui tugasan hakikinya sebagai pempengaruh dan usahawan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus aktif mewarnai industri muzik tanah air.
Katanya, dia akan terus menyanyi dan menganggap kehadiran single ketujuhnya itu membuka satu lagi ruang serta lembaran baharu untuk kerjaya seninya terus berkembang.
“Lagu Gadis Kebaya Ungu ini sebenarnya adalah hadiah istimewa buat semua pendengar dan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong saya sejak awal pembabitan di aplikasi TikTok,” kata finalis kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 tahun lalu.Advertisement
Lebih istimewa, single ini menyaksikan penyanyi yang popular dengan lagu hit Jagakan Dia itu kembali menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada komposer dan penulis lirik terkenal, Aiman Sidek.
Menurut Aiman, Gadis Kebaya Ungu adalah naskhah santai berkisarkan mengenai seorang jejaka yang jatuh cinta pandang pertama terhadap seorang gadis, lalu memasang impian untuk menyuntingnya sebagai permaisuri hidup.
Liriknya juga sengaja ditulis secara terus dan ringkas tanpa menggunakan kata-kata pujangga yang sarat agar lebih mudah difahami oleh segenap lapisan pendengar.
Berkongsi mengenai proses rakaman, Arul mendedahkan pengalamannya bekerja dengan pasukan produksi yang mantap membuatkan proses penyiapan lagu berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang rintangan besar.
“Bekerja semula dengan Aiman Sidek yang juga pencipta lagu pertama saya dahulu membuatkan saya sangat teruja. Proses keseluruhan daripada penyusunan lagu, pemilihan pemuzik hinggalah ke pembikinan muzik video (MV) mengambil masa sekitar dua bulan. Alhamdulillah, semuanya dapat disiapkan dengan sempurna,” ujarnya.
Proses rakaman lagu ini turut mendapat sentuhan Amir Sulaiman, dibantu oleh Hafeez Aledrus selaku produser, manakala Adi bertindak sebagai penyusun muzik (music arranger).
Sementara itu, pihak pengurusan NAR Music berharap lagu ini dapat menonjolkan lagi sisi matang dan kualiti sebenar vokal Arul sebagai seorang penyanyi versatil.
Menariknya, MV rasmi lagu ini yang dilancarkan di saluran YouTube NAR Music turut menampilkan kemunculan istimewa beberapa pempengaruh media sosial terkenal yang rapat dengan Arul bagi berkongsi kisah pahit manis kehidupan mereka sebagai elemen penceritaan.