Penyanyi Zizi Kirana mengakui tidak pernah menyesal mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya, pelakon Yusuf Bahrin, meskipun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian.

Menerusi podcast Confession Bilik Gelap, Zizi berkata beliau melihat perkahwinan tersebut sebagai satu ujian daripada Allah yang mengajarnya erti melepaskan sesuatu yang paling disayangi.

“Saya tidak menyesali berkahwin kerana saya rasa itu adalah ujian yang Allah beri kepada saya untuk melepaskan sesuatu yang kita sayang.”

Menurut Zizi, pengalaman itu turut membuka matanya bahawa segala yang dimiliki di dunia hanyalah pinjaman daripada Allah dan tiada satu pun yang kekal.

“Ketika itu saya berfikir, benda yang paling kau sayang adalah perkara yang Allah akan uji sebenarnya. Jadi bila Allah uji, saya kena belajar untuk melepaskan. Ini semua bukan saya punya. Semua Allah punya, tiada yang kekal.”

Dalam pada itu, Zizi mendedahkan beliau mengambil masa lebih setahun untuk berusaha mempertahankan rumah tangga mereka sebelum akhirnya menerima bahawa perpisahan adalah jalan terbaik.

Katanya, sepanjang tempoh itu beliau mendapatkan pandangan daripada individu yang berilmu dan berpengalaman sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk membawa haluan masing-masing.

“Sebenarnya setahun lebih untuk saya ambil masa dan macam-macam rujukan saya cari. Saya berjumpa dengan orang yang berilmu dan berpengalaman. Melalui perbincangan terakhir, pihak sana pun telah bersetuju.”

Tambahnya lagi, segala kesukaran yang dilalui sebelum ini sebenarnya telah pun diberikan jawapan oleh Allah, namun ketika itu hatinya masih belum terbuka untuk menerima hakikat tersebut.

Untuk rekod, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 sebelum disahkan bercerai pada 2 April lalu.

Source :

By Admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *