Selepas bergelar artis rakaman dan merakamkan album serta namanya mula dikenali ramai, penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim diuji dengan pemergian ibu tercinta, Siti Mariam Syed Abdul Rahman pada Mac 1979.
Menurut Khadijah, kehilangan ibu tersayang juga adalah titik terendah dalam hidupnya.
Katanya, hubungan dengan ibunya sangat rapat dan wanita berkenaan juga adalah segala-gala baginya.
“Arwah emak meninggal dunia selepas konsert saya di Sabah waktu itu. Kehilangan emak adalah antara cabaran dan tamparan paling hebat dilalui ketika mula bertapak dalam bidang nyanyian ketika itu.
“Saya berasa macam ‘lost’ sekejap dan hilang semangat untuk bekerja. Maklumlah, saya sudah biasa ‘travelling’ dengan emak ketika konsert dan sebagainya,” katanya ketika ditemu bual Harian Metro.
Kata anak bongsu daripada tiga beradik ini, sebagai anak pastinya perlu bekerja kerana mahu memberikan kedua ibu bapa segala-galanya yang mereka mahukan.
“Tapi bila saya muncul dengan album pertama, saya kehilangan bapak, Allahyarham Ibrahim Abu Hassan dan selepas album kedua, saya hilang emak pula.
“Jadi saya rasa macam, saya nak bekerja (menyanyi) untuk siapa? Saya rasa macam sampai tahap tak tahu nak buat apa waktu itu,” kata adik penyanyi dan pelakon veteran, Allahyarham Latif Ibrahim dan Sophia Ibrahim ini.

Bagaimanapun, kata Khadijah, dia bersyukur kerana kerjaya seninya diuruskan pengurus artis terkenal iaitu mendiang Mike Bernie Chin yang sentiasa di sisi menyokong dari belakang.
“Saya berterima kasih kepada Mike Bernie kerana dia pengurus yang sangat bagus dan tidak pernah putus asa untuk memberi saya semangat dan dorongan untuk bangkit semula.
“Atas sokongan Mike Bernie, saya teruskan perjalanan dalam karier seni dengan menjayakan konsert demi konsert, selepas itu,” katanya.
Bagaimanapun, kata Khadijah, selepas berkahwin dengan Mohamad Rashid Fahmi Batsaloo (suami pertama) pada 1981, dia memberi fokus kepada anak-anak dan keluarganya.
“Saya masih boleh menyanyi walaupun sudah berkahwin. Namun, selepas melahirkan anak kedua, jodoh saya bersama suami pula tidak panjang.
“Hubungan kami masih baik seperti keluarga yang harmoni selepas bercerai. Kalau kami jumpa di konsert, bekas suami akan beli meja untuk beri sokongan pada konsert yang saya anjurkan.
“Kalau saya nak buat album dan perlukan duit, saya akan meminta bantuannya dan kami juga sudah macam jadi rakan kongsi dalam perniagaan,” katanya.

Selepas bercerai dengan suami pertama pada 1986, Khadijah kembali dengan bingkisan album baharu yang diterbitkan sendiri berjudul Ku Pendam Sebuah Duka yang kembali melonjakkan namanya sebagai penyanyi.
“Alhamdulillah, masa itu nama saya naik balik sebagai penyanyi selepas lama tiada album.
“Saya anggap ia rezeki daripada Allah SWT dan bila lagu Ku Pendam Sebuah Duka meletup, bekas suami pun tumpang gembira dengan kejayaan album itu.
“Sejak itu, saya teruskan karier nyanyian dan masih belum berhenti menghiburkan peminat sampailah hari ini,” katanya.
SIRI AKHIR: Jaga disiplin rahsia kekal bertahan