Kuala Lumpur : Khuatir nama suami tercinta, Allahyarham Datuk Jamil Sulong lenyap ditelan zaman, seniwati tersohor, Datuk Rosnani Jamil mengambil inisiatif mengabadikan karya penulisan pengarah filem legenda itu menerusi penerbitan buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati.
Rosnani atau lebih mesra disapa Mak Nani, 89, berkata usaha itu diambil bagi memastikan sumbangan Allahyarham Jamil dalam dunia seni terus dikenang khalayak, bukan sekadar menerusi filem arahannya, malah hasil penulisan yang memperlihatkan sisi kreatif serta pemikiran arwah suaminya.
Menurut Mak Nani, idea menerbitkan buku berkenaan tercetus secara tidak sengaja selepas beliau menemui koleksi puisi yang ditinggalkan Allahyarham Jamil ketika mengemas perpustakaan mini di kediaman mereka di Janda Baik, Pahang.
Jelasnya, proses mengemas dan meneliti bahan peninggalan suaminya itu mengambil masa berbulan-bulan berikutan jumlah koleksi yang terlalu banyak, selain Allahyarham Jamil mempunyai aturan tersendiri dalam menyimpan buku dan bahan bacaannya.
“Semasa suami hidup, mak tak boleh masuk bilik itu. Pegang atau pindahkan satu buku ke tempat lain pun tak boleh, nanti dia cari dan bising jika tak jumpa.Advertisement
“Sebab itu, apabila mak mula berkemas untuk memilih bahan, prosesnya mengambil masa berbulan-bulan. Sampai sekarang pun masih belum teratur semuanya kerana koleksi arwah terlalu banyak,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Dr Rosmani Omar.

Mengulas lanjut, Mak Nani memberitahu koleksi penulisan arwah suaminya bukan sahaja merangkumi bahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, malah turut meliputi bahasa Cina, Jepun dan Russia yang dikumpul ketika mereka aktif mengikuti festival filem di luar negara.
Namun, hanya penulisan dalam bahasa Melayu dimuatkan dalam buku berkenaan.
Hasil daripada proses kemas rumah itu, Mak Nani menemui lebih 100 puisi yang ditinggalkan suaminya. Atas inisiatif Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, koleksi puisi yang tersimpan kemas dalam fail itu diserahkan kepada DBP kira-kira setahun lalu untuk diterbitkan.
“Mak tengok pengarah lain semua sudah hilang. Jadi, mak tak mahu nama abah turut hilang. Sebab itu, selagi ada hasil tangan Allahyarham Jamil atau ideanya, mak akan buat sesuatu supaya orang tak lupa Jamil Sulong.
“Macam Allahyarham Tan Sri P Ramlee, tak perlu buat macam apa yang mak usahakan sebab arwah manusia unik. Tetapi, sebagai pengarah, abah tidak begitu.
“Jadi mak sebagai isteri yang bertuah dikurniakan suami seperti dia, apa sahaja mengenai arwah, mak akan cuba ketengahkan. Jangan sampai nama Jamil Sulong hilang,” katanya.
Buku setebal 89 halaman terbitan DBP itu menghimpunkan 79 puisi, 19 puisi mini dan 35 koleksi pantun yang ditulis Allahyarham Jamil sejak zaman mudanya.
Daripada keseluruhan karya itu, Mak Nani mengakui puisi berjudul Senja Semakin Tua paling meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya kerana mengisahkan kebimbangan ibu bapa apabila usia semakin lanjut dan tidak mahu menjadi beban kepada anak-anak.
Tambah seniwati veteran itu lagi, selain koleksi bahasa Melayu, karya penulisan Jamil dalam bahasa Inggeris turut berpotensi untuk diketengahkan dan dibukukan pada masa akan datang agar legasi seni Allahyarham terus menjadi khazanah berharga buat negara.