Kuala Lumpur : Pemain piano Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rusmadi Ramli, 56, memaklumkan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) adalah persatuan seni pertama yang datang menjenguk dan menghulurkan bantuan kepadanya sejak diserang strok empat tahun lalu.
Rusmadi terharu apabila menerima kunjungan wakil KARYAWAN yang diketuai Presidennya, Datuk Freddie Fernandez di kediamannya di Sri Gombak, baru-baru ini.
Menurut Rusmadi, kehadiran persatuan itu bukan sekadar menyampaikan bantuan kecemasan bagi meringankan beban kewangannya, malah turut mendaftarkannya sebagai ahli rasmi Karyawan.
Katanya, dia sebelum ini pernah cuba mendapatkan bantuan daripada beberapa persatuan seni lain menerusi ahli keluarga, namun kecewa apabila dimaklumkan bantuan hanya diberikan kepada ahli berdaftar.
“Ada persatuan yang memberitahu mereka hanya membantu ahli yang sudah membayar yuran keahlian.
“Malah, ada juga permohonan bantuan daripada agensi lain yang memerlukan pelbagai prosedur sehingga membuatkan saya berasa patah semangat,” katanya.
Rusmadi berkata, kunjungan Freddie ke rumahnya memberikan semangat baharu selepas berdepan pelbagai ujian sejak beberapa tahun lalu.
“Apabila Datuk Freddie sendiri datang ke rumah, menerima keahlian saya dan menghulurkan bantuan tanpa syarat yang menyusahkan, saya rasa sangat dihargai.
“Saya berharap lebih ramai pemuzik terutama di RTM dan agensi orkestra lain menyertai persatuan kerana kita perlukan satu platform untuk membina rangkaian dan berkongsi peluang pekerjaan. Jangan tunggu sudah susah baru hendak mencari persatuan,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu kini hanya mampu melakukan tugasan penulisan skor ringan di RTM berikutan kekangan fizikal pada bahagian kiri badan akibat serangan angin ahmar.
Sementara itu, Freddie berkata, kunjungan ke rumah Rusmadi membuktikan komitmen persatuan dalam menjaga kebajikan penggiat seni tanpa mengira status mereka.
“Tujuan kita adalah untuk memberi mesej jelas kepada semua pemuzik orkestra mahupun tradisional bahawa Karyawan sentiasa bersedia menjaga kebajikan mereka. Kita mahu industri ini bergerak sebagai satu pasukan yang kuat,” katanya.
Menurutnya, dana hasil penganjuran Majlis Makan Malam Legends dan Konsert Reunion Sweet Charity di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Disember lalu serta sumbangan korporat RM50,000 daripada syarikat NextG membolehkan bantuan disalurkan kepada penggiat seni veteran yang memerlukan.
Freddie turut mengumumkan Karyawan sudah meminda perlembagaan persatuan dengan menawarkan keahlian percuma untuk tahun pertama bagi menarik lebih ramai penggiat seni menyertai persatuan itu.