Kuala Lumpur: Penyanyi Zul Handy Black memaklumkan belum bersedia untuk menghasilkan single atau lagu baru buat masa ini.
Zul atau nama sebenarnya Nurzul Suphia’an Sa’aban, 51, yang kini ‘berhijrah’ berkata, dia kini lebih fokus pada jemputan persembahan yang banyak diterimanya.
“Sebenarnya tidak berbaloi untuk saya menghasilkan produk terbaru pada masa ini sebab peminat tak akan ambil peduli sangat. Mereka lebih suka dengar lagu-lagu lama saya bersama Handy Black.
“Saya kini hanya bersandarkan lagu-lagu lama dan syukurlah masih banyak pihak tawarkan peluang untuk saya menyanyi di majlis-majlis agama dan sebagainya.
“Iyalah…kita dah menginjak umur-umur begini, ada baiknya
dekat-dekatkan diri dengan majlis-majlis agama. Jadi tak kurang juga lah jemputan program
masjid-masjid, surau-surau,” katanya.
Menurutnya, anggota Handy Black yang lain masing-masing sudah membawa haluan sendiri, namun mereka masih lagi berhubung seperti dahulu.
“Masing-masing ada bisnes sendiri. Cumanya bila kita fikir nak buat comeback itu, bukan satu perkara mudah sebab sekarang ini kita tengok ‘demand’ untuk rock ini tak seimbang.
“Tak semua kumpulan rock itu ada ‘demand’ yang baik. Sebenarnya permintaan-permintaan itu kadang-kadang untuk nama-nama besar yang macam kita dapat tengok sekarang ini.
“Kalau yang betul-betul buat konsert rock pun selalunya Wings, Barbarik dan XPDC. Jadi kita pun kadang-kadang fikir banyak kali juga sebenarnya.
“Takut kalau kita nak buat comeback itu, kita risau kadang-kadang orang pandang sekali lalu sahaja. Sekadar buat comeback tapi benda itu tak dapat ‘pukul’ balik kenangan lama kita,” katanya.
Zul bersama Handy Black meniti populariti menerusi lagu Kau Yang Bernama yang dimuatkan
dalam album Sakit Kepala diterbitkan pada 2000.
Zul kini menukar judulnya menjadi Kau Yang Bernama Illahi dan liriknya diubah kepada mesej ketuhanan.Disiarkan pada: Julai