SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer, Halim Ahmad tampil dengan idea luar kebiasaan apabila melancarkan album khas bertemakan perkahwinan berjudul Walimatul Urus yang disusun khusus untuk mengiringi pelbagai suasana majlis.
Halim, 40, berkata, album yang memuatkan sembilan trek itu dihasilkan bagi memenuhi keperluan pasangan pengantin yang mahukan pilihan muzik lebih tersusun dan sesuai mengikut konsep majlis.
“Biasanya dalam industri nasyid, kita tampil dengan lagu secara single atau berkisar cinta dan rumah tangga.
“Tetapi kali ini, saya hasilkan sebuah album yang benar-benar dikhususkan untuk majlis perkahwinan.
“Semua trek disusun supaya sesuai dimainkan dalam pelbagai suasana sama ada moden, tradisional atau berkonsepkan kampung,” katanya ketika ditemui pada pelancaran album berkenaan di Setia Alam di sini, baru-baru ini.PlayNextMuteCurrent Time 0:32/Duration 1:19Loaded: 100.00%FullscreenBackward Skip 10sPlay VideoForward Skip 10s
Menurut Halim, album Walimatul Urus turut menampilkan gabungan pelbagai elemen muzik termasuk sentuhan Asia Barat dan irama klasik yang dekat dengan jiwa masyarakat.
“Saya tidak mahu ia kedengaran seperti nasyid semata-mata. Sebab itu kami gabungkan bunyian Asia Barat dan elemen klasik yang mempunyai aura nostalgia.
“Ada lagu yang diperdengarkan kepada golongan lebih berusia dan mereka suka melodinya kerana mengingatkan kepada karya lama yang pernah popular,” katanya.
Album Walimatul Urus turut memuatkan tiga trek doa yang diadaptasi daripada hadis sahih dan digubah dengan susunan piano, selain sebuah alunan selawat serta lima lagu penuh.
Halim berkata, album itu disiapkan dalam tempoh kurang sebulan berikutan sebahagian besar lagu da dalam koleksinya.
Mengulas keyakinannya mempertaruhkan konsep klasik ketika trend semasa lebih cenderung kepada karya moden, Halim percaya album Walimatul Urus mampu diterima pelbagai lapisan masyarakat.
“Majlis perkahwinan menghimpunkan pelbagai generasi. Sebab itu lagu yang bersifat tradisional dan meraikan suasana majlis masih ada tempat,” katanya.
Halim mengakui cabaran terbesar bukan menghasilkan karya tetapi memperkenalkan kewujudan album Walimatul Urus kepada masyarakat.
“Cabaran sebenar adalah bagaimana mahu mempromosikan album ini supaya lebih ramai tahu kewujudannya dan menggunakan bingkisan ini dalam majlis perkahwinan.
“Saya harap platform digital dapat membantu memperluaskan capaian album ini,” katanya.
Album Walimatul Urus kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital.