Kuala Lumpur: Menginjak ke usia 30-an membuatkan pelakon, Jaa Suzuran mula mengubah sepenuhnya perspektif mengenai alam perkahwinan.
Jaa atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ahmad, 32, mengakui fasa menuju kematangan ini membuatkan dia kini lebih memberi fokus terhadap persediaan untuk bergelar suami.
“Dulu kita nak kahwin sebab fikir perempuan itu boleh jadi yang terbaik untuk kita atau tidak. Tapi sekarang bila sudah masuk usia 30-an, bukan macam itu. Sekarang saya fikir macam mana saya nak jadi yang terbaik untuk isteri.
“Macam mana saya nak buat dia bahagia. Walau apa pun salah dia, macam mana saya nak terima dan bertanggungjawab terhadap perkara itu. Itulah suami yang bertanggungjawab.
“Saya rasa saya sudah ada pemikiran itu, cuma belum jumpa orangnya (bakal isteri) lagi. Mungkin Tuhan kata saya belum bersedia,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi filem Tiket Sehala di Balai Berita, Bangsar, di sini, baru-baru ini.
Ditanya mengenai status terkini dirinya, Jaa berkata, dia masih lagi dalam misi mencari surihati, namun masih belum dipertemukan dengan calon yang sesuai.
“Saya cari juga sebenarnya. Kali ini kalau jumpa, rasanya tak perlu tunggu lama-lama, terus berkahwin tapi setakat ini belum ada lagi, belum ada rezeki.
“Kadang-kadang awak suka dia, dia tak suka awak. Dia pula suka orang lain. Pusing-pusing macam itu. Tapi apa pun jadi sebab memang tak ada rezeki,” katanya.
Jaa yang bakal muncul dalam filem Tiket Sehala ini turut mengulas mengenai gurauan warga maya yang sering mengusiknya di media sosial seolah-olah dia seorang yang terdesak untuk mencari pasangan hidup.
Menurutnya, situasi berkenaan sebenarnya bermula daripada usikan peminat sendiri yang gemar membangkitkan status bujangnya setiap kali dia membuat kemunculan di platform digital.
“Sebenarnya bukan saya yang mulakan. Mereka yang selalu usik saya. Kalau saya buat ‘live’ atau muat naik gambar, mesti ada yang komen pasal saya masih bujang.
“Jadi saya cuma ‘play along’ sahaja. Kalau nak kata saya terdesak, mereka yang mengusik saya itu pun belum berkahwin juga.
“Tapi saya tak boleh marah sebab memang kami macam itu, satu geng ‘loyar buruk’, tapi saya percaya jodoh saya akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jaa bakal menerajui filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali, terbitan produksi Key Billions Sdn Bhd, sebuah karya yang diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku ke atas mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.
Selain Jaa, Tiket Sehala turut membariskan barisan pelakon popular lain antaranya Noki K-Clique, Ainee Mustafa, Zaki Yamani dan Sharifah Sakinah.
Tiket Sehala yang menjalani penggambaran sepanjang November sehingga Disember lalu di Malaysia serta Korea Selatan dijadualkan bakal menemui penonton di pawagam bermula 6 Ogos depan.