Selepas hampir sedekad menyimpan kisah peribadinya, penyanyi Vince Chong akhirnya terbuka berkongsi mengenai perjuangannya berdepan gangguan bipolar demi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mendapatkan bantuan profesional.
Pendedahan itu dibuat oleh juara Akademi Fantasia musim pertama berusia 47 tahun tersebut menerusi program Kita Kita Aje Podcast bersama Datuk Aznil Nawawi.
Vince berkata, dia disahkan menghidap bipolar jenis 2 pada tahun 2015 selepas ahli keluarganya menyedari perubahan emosi yang ketara dalam dirinya.
Kakak saya mula menyedari selepas menonton program mengenai bipolar membabitkan penyanyi Hollywood, Britney Spears.
“Keluarga kemudian meminta saya berjumpa pakar psikiatri dan selepas pemeriksaan, saya disahkan menghidap bipolar jenis 2.
“Saya sangat berterima kasih kepada kakak kerana jika bukan disebabkan dia, mungkin sehingga hari ini saya tidak tahu keadaan sebenar saya,” katanya.
Mengimbas kembali fasa kemurungan yang pernah dilalui, Vince berkata dia lebih selesa mengasingkan diri dan mengelak daripada bertemu orang ramai kerana hilang keyakinan terhadap kemampuan sendiri.
Pada peringkat awal, Vince mengakui sukar menerima hakikat bahawa dirinya berdepan masalah kesihatan mental sehingga melalui fasa penafian.
Vince kemudian menjalani rawatan dan mengambil ubat bagi membantu menstabilkan emosinya. Bagaimanapun, dia berkata sudah tidak lagi bergantung kepada ubat sejak kira-kira empat atau lima tahun lalu.
Perubahan gaya hidup seperti mendapatkan tidur yang mencukupi, bersenam dan memberikan keutamaan kepada keluarga turut banyak membantu memperbaiki keadaannya.
Dalam masa sama, Vince menyifatkan isterinya, Fiona Edward, sebagai insan yang tidak pernah meninggalkannya meskipun terpaksa berdepan perubahan emosinya.

Menurutnya, gangguan bipolar bukan alasan untuk seseorang menyerah kalah, sebaliknya perlu ditangani melalui rawatan yang sesuai.