Kuala Lumpur : Keinginan mendalam Nur Tiara Zinnirah, 8, atau mesra disapa Tiara yang sering menunjukkan minat untuk mempunyai adik menjadi pendorong utama buat pelawak dan penyanyi, Achey serta isteri meneruskan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) buat kali kedua.
Achey, 40, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, dia dan isteri, Nor Hasanah Yahaya (Anne) terkesan melihat tingkah laku Tiara yang begitu menyayangi kanak-kanak lain setiap kali mereka keluar bersama.
“Salah satu sebab kenapa IVF ini diteruskan tahun ini adalah kerana Tiara. Tingkah laku dia nampak sangat dah nak adik. Ke mana sahaja kami pergi, kalau nampak budak, dia akan dukung tanpa kira anak siapa.
“Sebab itu kami sepakat mahu cuba lagi,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi filem Keranda Tan Sri Terbang di Balai Berita, Bangsar, di sini hari ini.
Menurut Achey, isterinya kini sedang berehat sepenuhnya (bed rest) di rumah selepas memulakan proses rawatan IVF kedua berkenaan di pusat perubatan Alhaya Fertility Centre bersama pakar terkemuka, Dr Haris Hamzah sejak 5 September lalu.
Meskipun menyedari proses berkenaan menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, anggota kumpulan Bocey ini mengagumi kecekalan isterinya yang sanggup melalui kesakitan demi mendapatkan zuriat daripada rahim sendiri.
“Saya sangat kagum dan beruntung ada isteri yang sanggup berusaha sebegini. Proses IVF ini menyakitkan dan bukan semudah yang orang sangka. Buat masa ini, Anne kena ‘bed rest’ dalam tempoh yang agak panjang.
“Kali ini kami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya laluinya dengan tenang dan santai. Berjaya atau tidak, kami sudah berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah serta mengharapkan doa yang ikhlas daripada orang ramai,” tambahnya.
Untuk rekod, Achey dan Anne berkahwin pada 2011 sebelum mengambil Tiara sebagai anak angkat pada 2018.
Pasangan ini pernah menjalani rawatan IVF pertama pada Disember 2022, namun rezeki tidak berpihak kepada mereka ketika itu.
Bagi perkembangan karier seni pula, Achey bakal tampil menerusi filem komedi terbaharu arahan Waan Hafiz berjudul Keranda Tan Sri Terbang yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara menjelang hujung tahun ini.