Kuala Lumpur: Detik cemas berlaku di set penggambaran apabila pelakon dan pelawak, Ropie jatuh dan pengsan secara tiba-tiba dipercayai berpunca daripada strok haba.
Perkara itu dikongsikan pelakon dan pelawak, Zalif Sidek menerusi hantaran di Instagramnya, tengah malam tadi.
“Sesuatu yang tak pernah kita sangka. Semalam ketika menjalani penggambaran outdoor (luar) di Bangunan SUK Selangor, tiba-tiba sahabat kita, Abang Ropie jatuh dan pengsan secara tiba tiba.
“Nasib baik waktu itu sebelah ada Jasper Supayah, (dia terjatuh) akibat disyaki mengalami strok haba dan cuaca jerebu sekarang ini. Allahuakhbar.
“Dalam sekelip mata, suasana penggambaran yang biasa bertukar menjadi cemas. Kita semua hanya mampu berdoa agar Ropie diberikan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Zalif turut mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan menitipkan pesanan kepada pengikutnya di platform itu agar menjaga kesihatan dalam situasi cuaca berjerebu seperti sekarang.
“Terima kasih Hospital Shah Alam dan ambulans sepantas yang mungkin terus ke set untuk memeriksa dan berikan rawatan segera.
“Kadang-kadang bila terlalu fokus kepada kerja sehingga terlupa keadaan tubuh sendiri. Cuaca panas bukan perkara kecil. Jaga diri, cukupkan air dan jangan paksa badan bila sudah mula rasa tidak sihat.
“Semoga Abg Ropie sentiasa dilindungi Allah, diberi kesembuhan dan dipermudah semuanya. Amin. Allah jaga dan lindungi sahabat kita, Abang Ropie,” tulisnya.
Zalif turut memuat naik beberapa foto yang sempat dirakamkan ketika insiden mencemaskan itu berlaku.