Kuala Lumpur :: Bekas kumpulan Brothers, Akbar Azmi berkongsi berita baik sahabatnya, Yasin Sulaiman kini dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Menerusi perkongsian di Threads, Akbar berkata, Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, akhirnya dibenarkan pulang selepas lebih kurang empat tahun.

“Alhamdulillah akhirnya setelah empat tahun lebih, akhirnya Yasin Sulaiman atau dikenali sebagai Yasin Brothers sudah dibenarkan pulang dari hospital.

“Ya Allah lama itu, anak pun sudah besar tapi alhamdulillah sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara. Ini semua kuasa Allah SWT, Yasin dapat lepas hari ini.” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Akbar berkongsi perbualannya bersama pelantun lagu Mimpi Laila itu yang sedang dalam perjalanan pulang.

“Saya telefon dia tadi, dia dalam perjalanan, dekat Tapah. Nanti tunggu ‘update’ terbaru saya bersama beliau nanti. Insya-Allah. Kami sangat gembira,” katanya.

Terdahulu, pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dimohon Yasin.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *