Kuala Lumpur : Pelakon, Zul Ariffin kini lebih berhati-hati sebelum melakukan sesuatu babak dalam mana-mana karya selepas berdepan dengan tindakan undang-undang apabila melakonkan babak sensitif dalam sebuah drama empat tahun lalu.

Menurut Zul, 40, pengalaman lalu mengajarnya untuk tidak lagi sekadar mengikut atau menuruti setiap arahan serta skrip produksi secara membuta tuli tanpa berfikir panjang.

“Saya dah lalui benda itu, jadi saya tidak akan letak diri saya di posisi di mana saya akan menuruti dan mengangguk apa sahaja yang mereka suruh buat atau tulis dalam skrip lagi.

“Sebagai pelakon, kita kena faham erti kolaborasi. Jika tidak, kita akan jadi ‘dungu’ dan hanya mengikut. Sekiranya sesuatu berlaku, mereka akan throw you under the bus (kambing hitamkan anda). Itu tidak bagus.

“Jadi untuk selamat, saya belajar perkara itu daripada cara yang sukar dan sebab itu perlu berhati-hati. Sejujurnya, perkara itu tidak berbaloi kerana ini hanya kerja saja, bukan soal hidup atau mati,” katanya ketika ditemui pada sidang media telefilem UTV, Takdirnya Cinta, semalam.

Mengimbas kembali kontroversi yang pernah melandanya, Zul mengakui kesalahannya dan tidak mempunyai pilihan selain memilih untuk meneruskan kehidupan.

“Saya tak ada pilihan lain dan memang rasa bersalah. Jadi saya nak tutup benda itu dan terus ‘move on’,” katanya lagi.

Ditanya pandangan mengenai sebuah drama tempatan yang perlu disunting semula susulan dakwaan mengandungi babak sensitif, Zul menyambut baik tindakan berkenaan namun berharap ia tidak dilakukan secara bermusim.

“Baguslah kalau ada tindakan. Namun banyak juga sebelum ini tiada tindakan dan senyap sahaja.

“Mungkin tindakan itu diambil secara bermusim atau mengikut orang, saya tidak pasti. Saya cuma cakap sahaja, kalau ada tindakan itu baguslah,” kongsinya.

Mengulas budaya masyarakat terkini yang gemar menularkan isu di media sosial, Zul menyifatkan platform itu bukan pihak berkuasa atau persatuan yang mampu menyelesaikan sesebuah masalah.

“Saya tidak tahu sekarang ini apa-apa yang terjadi, semua orang nak report (lapor) dekat media sosial. Media sosial bukan pihak penguasa atau satu persatuan, ia cuma tempat orang ‘merengek’ sahaja.

“Kalau disalahkan atau dikecam, terima saja tetapi mereka memilih untuk sembang dalam media sosial. Bukan boleh buat apa pun dalam itu sebaliknya hanya akan ditertawakan dan dipersalahkan,” kongsinya lagi.

Sementara itu, pelakon filem Malam terlarang ini turut meminta orang ramai untuk menggunakan saluran yang betul bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

“Pengajarannya, jangan banyak sangat ‘merengek’ di media sosial. Take it to the chin (terima hakikat) dan jadilah kuat.

“Media sosial sekarang untuk orang cari duit seperti berniaga di TikTok dan sebagainya, tetapi bukan tempat ‘merengek’. Kalau nak ‘address’ isu, pergilah dan buatlah melalui saluran yang betul,” ujarnya.

Tambah Zul, dia memilih untuk berdiam diri daripada bising di media sosial kerana fokus utamanya adalah terhadap kerjaya lakonan.

“Orang tak akan nampak saya ‘merengek’ di media sosial, saya senyap sahaja. Saya cuma seorang pelakon. Kalau orang tawar watak, maka adalah tawaran. Kalau orang dah tak suka dan tiada tawaran, maka tiadalah.

“Apa yang boleh saya buat, kalau ada tawaran, saya teruskan dengan kerja itu. Tapi kalau nak bercakap banyak pasal isu itu dan ini di media sosial, saya tak tahu penyelesaian apa yang mereka cari. Mereka memang cuma sukakan perhatian,” katanya.

Sebelum ini, Zul pernah mencetuskan kontroversi pada 2022 apabila memuatnaik sedutan babak sebuah drama bersiri, Perempuan Itu yang dianggap keterlaluan sehingga mengundang kecaman ramai.

Zul kemudiannya didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pada 4 Oktober 2022 atas pertuduhan memuat naik kandungan sensitif dalam media sosial pada Mac 2022.

Terdahulu, platform penstriman iQIYI menurunkan sementara enam episod drama Madu atau Racun manakala baki episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting serta dinilai semula susulan kontroversi kandungan yang didakwa terdapat elemen hubungan songsang (LGBT).

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *