Kuala Lumpur : Fenomena filem tempatan Chelot terus membara di pawagam seluruh negara apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung atau box office sebanyak RM14 juta selepas 14 hari tayangan, termasuk menerusi siri tayangan awal filem berkenaan.
Kejayaan gilang-gemilang itu bukan sekadar angka statistik, sebaliknya menjadi manifestasi sokongan padu peminat filem tempatan yang terus mempercayai dan mendokong karya seni tanah air.
“Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus dan kerana terus memilih Chelot sebagai tontonan anda di pawagam,” kata pihak produksi menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menggabungkan elemen aksi mendebarkan serta jalan cerita yang penuh dengan muslihat, filem arahan sutradara prolifik, Adrian Teh ini membuktikan naskhah tempatan masih mempunyai momentum tersendiri dengan dominasi pawagam berterusan.
Sehubungan itu, pihak produksi menyeru penonton dan peminat di seluruh negara agar terus membanjiri pawagam bagi menikmati sendiri pengalaman sinematik berskala besar ini bersama ahli keluarga serta rakan-rakan.
Sementara itu, Primeworks Studios selaku Rakan Pemasaran filem berkenaan turut mengajak orang ramai untuk terus mengikuti perkembangan terkini serta berkongsi keterujaan menerusi tanda pagar rasmi #CHELOT di pelbagai platform media sosial.