Kuala Lumpur: Pengarah siri dan filem Kudrat 1968: High Council, Zulaikha Zakaria menafikan dakwaan bahawan naskhah berkenaan mahu mengetengahkan budaya buli.

Zulaikha berkata, secara dasarnya terdapat pengajaran pada setiap babak ganas yang dipaparkan dalam karya itu.

“Bagi saya dari awal lagi pembikinan (drama) High Council, isu buli di sekolah terus dikaitkan dengan naskhah ini.

“Secara visual ia sangat dekat dengan apa yang terjadi, tapi bezanya dalam filem ini walaupun ada babak-babak ganas, saya tetap pastikan watak-watak tersebut ada pengajarannya.

“Disebabkan naskhah ini dari drama siri ke filem, jadi penonton akan lihat pengajaran yang didapati daripada setiap tindakan membuli,” katanya pada tayangan perdana filem Kudrat 1968: High Council, di sini, semalam.

Zulaikha berkata, naskhahnya memaparkan perubahan watak daripada pelajar yang baik kepada individu bersikap kasar dan ia menjadi antara mesej penting yang ingin disampaikan kepada penonton.

“Setiap watak yang jahat itu impaknya sangat besar. Penonton boleh lihat apa yang terjadi dengan watak yang dibawakan oleh Dai Fuad. Malah, daripada karakter baik boleh menjadi kasar.

“Saya mahu menegaskan walaupun naskhah ini ada menunjukkan mengenai gejala buli, tapi cerita High Council, Kahar dan Kudrat ada tema dan topik yang bukan mengalakkan buli,” katanya.

Dalam pada itu, Zulaikha gembira melihat maklum balas terhadap karya arahannya dan ia menaikkan semangatnya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik.

“Saya sangat bersyukur dengan penerimaan penonton. Alhamdulillah, persepsi yang diterima juga sangat positif. Ramai yang beri maklum balas terutamanya netizen di Threads.

“Saya rasa ini hanyalah satu permulaan. Mungkin ada kekurangan yang tak tercapai, saya percaya ia hanya membuatkan pasukan kami dan industri filem untuk melakukan yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, filem Kudrat 1968: High Council menjadi perhatian di media sosial apabila ramai yang mengaitkannya dengan dakwaan menggalakkan budaya buli dalam kalangan pelajar.

Isu berkenaan turut mencetuskan perbincangan susulan laporan mengenai pelbagai kes buli di sekolah termasuk insiden yang mengakibatkan kematian.

Kudrat 1968: High Council menjadi prekuel kepada fenomena siri Projek: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024), dengan mengetengahkan kisah awal tercetusnya sistem hierarki rahsia yang diwujudkan dalam kalangan pelajar.

Naskah arahan Zulaikha bersama Khairi Asyraff itu dibintangi oleh Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.

Turut berlakon adalah Datuk Seri Eizlan Yusof, Zamarul Hisham, Aleza Shadan, Yasmin Hani, Fauzi Nawawi, Sharul Kamal dan Rusdi Ramli.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *