AZIE Mustapha cukup sinonim dengan lagu ‘berhantu’ Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku. Meskipun era 90-an sudah lama berlalu, karya agung ciptaan komposer, Saari Amri itu kekal malar segar dan dalam ingatan peminat hingga hari ini.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa perjalanan awal pembabitan anak kelahiran Kuching, Sarawak ini dalam industri muzik tanah air penuh dengan warna-warni dan kejutan yang tidak disangka-sangka.
Mengimbas kembali detik awal kemunculannya pada 1994, Azie atau nama sebenarnya Roeziah Mustapha mendedahkan dia hampir dilahirkan sebagai ahli kumpulan muzik wanita dan bukan sebagai penyanyi solo.
“Mula-mula dahulu, Abang Saari Amri mahu menubuhkan sebuah kumpulan wanita yang dinamakan SHES. Kami ada empat ahli termasuk saya. Kami sudah merakamkan sebahagian lagu yang bernada rancak dan funky ala-ala kumpulan Feminin,” katanya.
Bagaimanapun, takdir menentukan jalan berbeza buat Azie. Menyedari keupayaan vokal Azie yang lebih terserlah, Saari membuat keputusan drastik untuk mengubah haluan.
“Abang Saari bercakap dengan pengurus saya, dia rasa tidak mahu meneruskan projek kumpulan itu. Dia mahu saya bergerak solo kerana dia ada banyak lagu balada yang sesuai dengan vokal saya.
“Bila dengar sahaja lagu Pelamin Anganku Musnah, saya terus terkejut dan bertanya kenapa lagu ini terlalu sedih,” katanya.
Paling menarik, Azie yang ketika itu baru berusia 18 tahun dan belum pernah mengecap pengalaman bercinta, terpaksa mencari jalan untuk mendalami emosi lagu balada yang begitu berat.
Rahsia penghayatan jiwa yang meruntuhkan jiwa pendengar rupanya berpunca daripada perasaan rindu yang teramat sangat kepada keluarga di kampung halaman.
“Bayangkan pada usia 18 tahun, saya tidak pernah berpisah dengan keluarga. Jadi, apabila terpaksa duduk di Kuala Lumpur untuk rakaman, saya gunakan perasaan rindu dan sedih berjauhan dengan emak dan ayah di Kuching untuk menyuntik emosi dalam lagu itu. Daripada situ timbulnya ‘jiwa’ lagu Pelamin Anganku Musnah,” katanya.

Azie turut mendedahkan bahawa bait-bait lirik lagu berkenaan bukan kisah hidupnya, melainkan terjemahan daripada kisah hidup komposer lagu itu sendiri.
Penangan dua lagu ‘berhantu’ berkenaan membawa impak luar biasa buat Azie. Popularitinya melonjak sehingga mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik tempatan era 90-an.
Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan Azie adalah lambakan surat dan kad raya daripada peminat yang membanjiri pejabat syarikat rakamannya, BMG Music Publishing (M) Sdn Bhd.
“Surat dan kad raya yang diterima terlalu banyak sehingga berguni-guni. Kami di pejabat tidak sempat hendak baca dan balas semuanya.
“Pernah sekali, saya minta kebenaran untuk membawa balik guni surat itu ke Kuching supaya adik-beradik saya dapat bantu membalasnya,” katanya.

Kejayaan album pertama pada 1995 dan album kedua pada 1996 membuktikan bahawa vokal mantap dan identiti unik Azie berjaya bertapak kukuh dalam lipatan sejarah muzik tanah air, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara penyanyi balada yang disegani.
ESOK: Mistik dan roda kehidupan.