Kuala Lumpur : Pelakon, Haidar Hasanudin, 37, menganggap perjalanannya masih jauh untuk berdiri sebaris dengan pelakon hebat dalam industri hiburan tanah air seperti Beto Kusyairy dan Bront Palarae.

Haidar yang sudah empat tahun berlakon berkata, masih banyak lagi ilmu yang perlu ditimba dan kelemahan yang perlu diperbaiki untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

“Saya yakin untuk berdiri sebaris dengan Beto dan Bront juga masih jauh lagi perjalanan dalam industri seni.

“Tapi, saya yakin, jika kita berusaha dengan lebih gigih lagi, pasti saya boleh sampai pada tahap itu,” katanya.

Mengulas pujian yang diterima menerusi watak Shafiq lakonannya dalam drama Cinta Dalam Sekam pula, kata Haidar, dia akui terharu dengan maklum balas positif dari penonton.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Saya tak sangka watak Shafiq dalam drama Cinta Dalam Sekam itu diterima baik seperti ini.

“Banyak komen yang saya baca datang daripada orang yang sebelum ini tak pernah kenal saya.

“Bila orang yang tak pernah mengikuti kerja kita tiba-tiba memberikan pujian selepas menonton, perkara itu memang memberikan satu perasaan yang berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, kata Haidar, dia tidak mahu hanyut dengan pujian yang diterima dan menganggap komen positif sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki mutu lakonan.

Menurutnya, pujian juga boleh menjadi sesuatu yang berbahaya sekiranya menyebabkan seseorang pelakon cepat berasa selesa dengan pencapaian sendiri.

“Saya hargai setiap komen dan mesej yang diberikan tetapi saya tak mahu terlalu hanyut.

“Saya anggap semuanya sebagai penghargaan dan semangat untuk cuba buat lebih baik dalam karya akan datang,” katanya.

Terdahulu, watak Shafiq lakonan Haidar yang berganding dengan pelakon Amir Ahnaf dan Siti Khadijah Halim menerusi drama Cinta Dalam Sekam mendapat pujian di media sosial.

Drama Cinta Dalam Sekam juga dilaporkan meraih lebih 101 juta tontonan di media sosial selain menduduki kedudukan teratas di platform penstriman Viu sejak ditayangkan pada Julai lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *