Kuala Lumpur : Tidak sanggup melihat ibunya, Raja Azura, terus dihujani kecaman netizen, anak bongsunya, Puteri Mia Maizura, 21, tampil mempertahankan wanita yang dianggap menjadi tonggak kejayaan dirinya dan dua abang.

Puteri Mia bersuara selepas seorang pengguna akaun Threads mempertikaikan tahap pendidikan Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku, ketika mengkritik cara pengacara itu mengendalikan program Kilauan Emas Selebriti.

Menerusi komen pada hantaran berkenaan, Puteri Mia mengakui ibunya hanya berpendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun menegaskan pencapaian akademik bukan ukuran kemampuan seseorang untuk mendidik anak.

“Saya faham mama saya berpendidikan sampai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja, tapi mama saya berjaya didik saya dan abang-abang saya menjadi manusia dan berpendidikan tinggi.

“Tanpa dia, saya tidak akan berada di sini. Cukup sekadar teguran, saya dan mama saya boleh terima. Tapi jangan ‘downgrade’ mama saya macam itu,” tulisnya.

Dalam satu lagi komen, anak bongsu daripada tiga beradik itu turut memohon maaf kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan sikap ibunya ketika mengendalikan program berkenaan.

Puteri Mia berkata, Raja Azura juga sudah mengetahui mengenai kecaman yang dilemparkan terhadapnya dan akan berusaha memberikan persembahan lebih baik pada minggu berikutnya.

“Saya mohon maaf kepada mereka semua. Mama maklum dengan apa yang terjadi dan kami akan cuba berikan yang terbaik minggu depan.

“Doakan mama saya dan Keanu, okay?” ujarnya.

Terdahulu, seorang pengguna Threads menyarankan Keanu Azman meninggalkan program berkenaan yang disifatkan seperti sarkas kerana percaya pengacara muda itu mempunyai peluang lebih luas di luar.

Malah, pengguna berkenaan mendakwa Keanu mampu mengendalikan acara lebih besar dan mengaitkan perkara itu dengan tahap pendidikan Raja Azura.

“Kita jangan tipu tahap dia di mana,” tulis pengguna berkenaan.

Raja Azura sebelum ini mengundang kecaman sebahagian netizen susulan cara pengacaraannya bersama Keanu dalam Kilauan Emas Selebriti.

Antara yang menjadi perhatian ialah tindakannya yang didakwa kerap mencelah dan memotong percakapan Keanu sehingga rakan gandingannya itu dilihat tidak mendapat ruang mencukupi untuk bercakap.

Kritikan itu kemudiannya mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton mengenai gaya pengacaraan kedua-dua pengacara berkenaan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *