Kuala Lumpur : Bekas bintang Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Elliza Razak bergandingan bersama sembilan lagi penggiat seni tanah air bagi menyemarakkan gelombang patriotisme menerusi pelancaran lagu terbaharu berjudul Malaysia Selamanya Merdeka.

Karya segar ciptaan dan terbitan sepenuhnya MoShark Production itu dihimpunkan sebagai simbolik kepada semangat perpaduan, keharmonian serta kecintaan mendalam rakyat terhadap tanah air.

Penglibatan Elliza bersama sembilan rakan artis lain jelas membuktikan muzik kekal menjadi medium ampuh menyatukan pelbagai latar belakang dan generasi dalam menyampaikan mesej cinta akan negara kepada masyarakat.

Penerbit dan pencipta lagu, MoShark berkata, karya berkenaan dihasilkan dengan harapan dapat membakar kembali semangat patriotik menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.

“Saya mahu menghasilkan sebuah lagu patriotik yang mempunyai identiti tersendiri dan boleh dinikmati oleh semua golongan.

“Penglibatan Elliza Razak AF3 bersama sembilan artis lain menjadikan projek ini lebih istimewa kerana setiap artis membawa karakter dan keunikan vokal masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain melodi yang menyemarakkan jiwa, Malaysia Selamanya Merdeka menyelitkan mesej penting mengenai pengorbanan generasi terdahulu, keamanan serta perpaduan yang wajib dipelihara.

MoShark turut berharap karya itu memberi nafas baharu kepada landskap muzik patriotik tempatan sekali gus menyatukan rakyat Malaysia menerusi irama serta mesej positif.

Sembilan barisan artis yang turut menjayakan projek khas ini ialah MoShark sendiri, Burn AF1, Nine Phyneballerz, Achik The Zikr, Tuah SAJA, Masriezan Masri, Sarhan, Fakhiz dan Ikram Mirwana.

Lagu Malaysia Selamanya Merdeka terbitan MoShark Production kini sudah boleh didengarkan secara rasmi di saluran YouTube MoShark Channel.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *