BUKIT JALIL: Enggan emosi terganggu akibat membaca komen atau perkara yang dirasakan tidak sepatutnya diketahui, penyanyi dan pelakon, Marsha Milan memilih untuk mengehadkan penggunaan platform media sosial, Threads.

Marsha atau Marsha Milan Londoh, 40, berkata dia lebih selesa membataskan pendedahan di platform berkenaan bagi mengelakkan dirinya terpengaruh dengan komen negatif yang boleh mendorongnya untuk memberikan respons.

“Saya tak suka masuk Threads sebab saya rasa saya adalah orang atau artis yang bukanlah nak kata saya pengecut atau apa, tetapi saya rela untuk tidak membaca apa yang tak patut.

“Jadi sebelum saya terbaca apa yang tak patut, saya tak masuk sangat pun Threads. Bila saya terbaca, nanti terdetik pula nak balas,” katanya ketika Sesi Temu Bual Media Borneo Rising di Astro, di sini, baru-baru ini.

Marsha berkata, pengalaman terbaca komen negatif sebelum ini turut membuatkannya lebih berhati-hati untuk mengakses

“Sebab itu saya cakap kalau Threads, saya tak berani. Saya rasa Threads terlalu lantang untuk saya.

“Kalau mana yang penting nanti, orang akan hantar kepada saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia menganggap Threads sebagai platform toksik, Marsha berkata perkara itu bergantung kepada cara seseorang menggunakan media sosial berkenaan.

“Mungkin tak sepenuhnya. Tetapi daripada saya terbaca atau berada dalam situasi yang macam, ‘Eh, benda ini saya tak patut tahu,’ itu yang saya rasa tak apalah, saya pilih untuk abaikan media sosial ini.

“Walaupun saya tahu Threads sangat penting untuk pembangunan seorang artis, terutama untuk promosi dan sebagainya, tetapi bagi saya, mungkin saya bukan artis yang seperti itu,” katanya.

Marsha berkata, dia pernah terbaca perkara di Threads yang dirasakan tidak sepatutnya diketahuinya, namun ia bukan berkaitan dirinya.

“Ya, pernah, tetapi bukan mengenai saya. Jadi bagi saya, saya rasa ini tidak sihat. Saya pilih untuk jaga emosi.

“Saya sendiri lebih banyak luangkan masa secara fizikal berbanding alam maya. Tetapi alam maya pun saya pilih juga.

“Saya ada pasukan untuk menjaga bidang yang sepatutnya. Jadi, apa yang saya perlu tahu, itu yang saya pegang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Marsha dipilih sebagai juri program Borneo Rising, platform pencarian bakat baharu yang direka khusus bagi mencungkil bakat luar biasa rakyat Malaysia, terutama anak-anak Borneo.

Dianjurkan sepenuhnya dari Sabah, Borneo Rising menjadi platform pencarian bakat generasi baharu yang membawakan misi mengangkat semangat, budaya dan identiti muzik Borneo.

Borneo Rising bakal menampilkan gandingan dua pengacara, Zizan Razak dan Sherry Alhadad, manakala barisan juri terdiri daripada nama besar dalam industri hiburan tanah air dari Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur, termasuk Marsha dan Shila Amzah.

Program berkenaan bakal bersiaran selama lapan minggu, bermula 6 September hingga 25 Oktober 2026, secara langsung dari ITCC Mall, Penampang, Sabah.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *