Kuala Lumpur : Personaliti serba boleh, Kelly Azman tampil mempertahankan karya terbaharunya selepas menerima pelbagai reaksi dan kecaman di media sosial susulan pelancaran lagu versi ‘cover’, Aku Nak Kawin juga nyanyian asal Andi Bernadee.
Video dimuat naik Kelly di media sosial turut mengundang pelbagai komen daripada warga maya.
Bagaimanapun, Kelly menegaskan bahawa kritikan segelintir netizen tidak akan menghalang dirinya daripada terus menghasilkan kandungan hiburan untuk peminat dan berkarya.
“Ini hanyalah hiburan. Saya hormat setiap pandangan, tetapi saya juga berhak berkarya dan berkongsi kreativiti dengan orang ramai.
“Lagu Aku Nak Kawin adalah projek lagu cover terbaharu saya yang dihasilkan sebagai satu bentuk hiburan dan penghargaan terhadap karya asal,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai gaya persembahannya pula, Kelly memaklumkan dia tampil dengan identiti dan cara tersendiri yang menjadi kekuatan utamanya sebagai seorang penghibur.
Menurut Kelly, tidak ramai penggiat seni di Malaysia yang berani melakukan apa yang dilakukannya.
Dia juga selesa dengan gaya sendiri serta berharap orang ramai tidak terlalu serius dalam menilai kandungan yang ditampilkan.
“Tidak perlu menilai saya secara berlebihan kerana tujuan saya hanyalah untuk menghiburkan,” tambahnya lagi.
Kelly turut menganggap kecaman sebagai lumrah bergelar anak seni dan mengakui mindanya kini sudah lali dengan segala tohmahan yang dilemparkan di media sosial.
Daripada terus melayan komen negatif, dia memilih untuk fokus kepada perkara positif dan mendedikasikan karyanya buat mereka yang tahu menghargai.
Kelly bertekad untuk terus menghasilkan lebih banyak kandungan kreatif yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira persepsi.