Di sebalik judul yang kedengaran seperti naskhah komedi, filem terbaharu arahan bersama Zulkifli Abu Hassan dan Dharma Nasution, The Real Mamu menjanjikan sebuah drama aksi sarat dengan air mata dan pengorbanan seorang bapa.
Zulkifli mendedahkan apabila perkataan ‘The Real Mamu’ diterbitkan, ramai menyangka ia adalah sebuah filem komedi, namun karya ini memaparkan realiti sebenar perjuangan seorang lelaki bergelar suami dan bapa.
“Kalau kita bercerita tentang ibu pada hari ini, semua orang tahu setiap perbuatan ibu sampai ke akhirnya. Jadi, sebagai bapa, apa yang kita tahu tentang di sebalik tabir harian dia? Apa yang dia perjuangkan untuk isteri sendiri?
“Ini adalah sebuah filem yang penuh emosi pengorbanan seorang suami dan seorang bapa untuk anak-anak,” katanya.
Menjelaskan maksud maruah dan darjat yang diketengahkan dalam filem itu, Zulkifli berkata, ia menggambarkan perbezaan ketara antara dua karakter yang dibawa oleh watak Mamu Tajuddin.
Menurutnya, filem ini turut menyentuh isu jenayah dan kekeluargaan yang semakin meningkat dalam masyarakat hari ini.
“Kita boleh tengok langkah dia (Mamu Tajuddin) selesaikan masalah, bagaimana dia memegang kuat nilai kekeluargaan dan persahabatan.
“Penonton juga boleh nantikan watak Abang Saiful (Saiful Apek) yang sangat luar biasa serta watak Datuk Husin, seorang yang memandang darjat yang dijayakan Wan Raja,” katanya.
Menyentuh aspek pemilihan pelakon dan penggunaan dialek, Zulkifli berpendapat sekiranya filem ini terlalu menekankan dialek tertentu seperti Kelantan atau Terengganu, hanya orang tertentu yang akan faham.
Katanya, filem yang berlatarkan Pulau Pinang ini menggunakan dialek Pulau Pinang yang boleh dilaungkan oleh artis yang mampu membawa pelbagai karakter.
“Bagi saya, barisan pelakon filem ini ‘super strong’. Tetapi, mana-mana pelakon yang tidak boleh bercakap dialek Pulau Pinang, mereka boleh menggunakan bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Malaysia.
“Ini penting supaya pelbagai kaum dan negara lain boleh memahami bahasa kita. Itu yang lebih penting untuk filem The Real Mamu.
“Kami yakin dan percaya dengan kekuatan barisan artis kita, filem ini akan menyampaikan semua krisis yang mampu membuka mata orang ramai,” kongsinya.
Pelancaran filem The Real Mamu di ibu kota, baru-baru ini dirasmikan penasihatnya, Tan Sri Zulkifli Ahmad.
Sementara itu, Zulkifli berkata, naskhah berkenaan lahir daripada impian, keberanian, kreativiti serta kezakinan tinggi bahawa karya tempatan mampu berdiri megah di mata masyarakat dan negara.
Menurutnya, menyedari impak luar biasa media sosial, mereka mempertaruhkan barisan pempengaruh terkenal tanah air untuk menerajui filem terbabit.
Katanya, pemilihan golongan itu bukan sekadar bersandarkan populariti di media sosial, malah dia yakin kehadiran mereka mampu meletakkan naskhah terbabit ke penanda aras lebih tinggi.
“Saya beri jaminan bahawa penonton bukan sahaja akan terhibur dengan plot yang disajikan, malah penonton dapat mengenali Pulau Pinang dengan lebih mendalam menerusi filem The Real Mamu,” katanya.
Selain Saiful Apek, The Real Mamu turut menampilkan barisan artis terkenal seperti Wan Raja, Kodi Rasheed, Wafariena, Didie Alias, Adrea Abdullah, Risteena, Adam Corrie dan Yasin Senario.