Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengajak orang ramai untuk bersama-sama menunaikan solat hajat bagi mendoakan urusan rayuan akhir kes mahkamah melibatkan tunangnya, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan diputuskan pada 30 Jun ini.
Menerusi sebuah hantaran video di media sosial, Bella, 32, berkata majlis solat hajat dan doa selamat itu akan diadakan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya dan terbuka kepada semua yang ingin hadir memberikan sokongan.

“Tapi sebelum itu, saya ingin berbesar hati menjemput ramai orang, yang mengenali untuk sama-sama menjayakan majlis solat hajat dan juga doa selamat untuk Syed Saddiq di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra di Kelana Jaya.”
Menurut Bella, kehadiran dan doa daripada orang ramai amat bermakna sebagai salah satu usaha dan sokongan moral buat Syed Saddiq yang sedang melalui proses perundangan tersebut.
Dalam hantaran sama, Bella turut menitipkan doa agar tunangnya diberikan ketenangan, kekuatan dan keadilan sepanjang berdepan proses mahkamah itu.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 30 Jun depan.
Sebelum ini, pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada November 2023.