Kuala Lumpur: Menjalani penggambaran selama 22 jam demi menjayakan babak sukan pickleball, pelakon, Anna Jobling mengakui serik dan trauma untuk bermain sukan berkenaan buat masa ini.

Menurut Anna atau pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 26, tempoh masa panjang itu terpaksa dilalui bagi memastikan pengarah dapat menghasilkan visual terbaik untuk telefilem terbaharunya berjudul Dink! I Love You.

“Saya tak sangka kami akan bekerja selama 22 jam untuk mendapatkan babak yang cantik bagi telefilem ini.

“Saya rasa agak trauma apabila terpaksa buat perkara sama berulang kali. Saya pula tak minat sangat dengan sukan pickleball. Janganlah ajak saya main lagi untuk enam bulan ke hadapan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mengulas mengenai latar belakangnya, pelakon drama Terima Kasih Cinta ini mendedahkan dia sebenarnya lebih menggemari sukan individu berbanding sukan berkumpulan, memandangkan dia pernah bergelar atlet renang sebelum ini.

“Sebelum ini saya merupakan perenang untuk negeri Selangor, jadi saya lebih gemar sukan individu. Saya tak suka sukan berkumpulan sangat. Tapi kalau untuk suka-suka boleh, untuk kompetitif, tidak,” katanya.

Ditanya sama ada dia hampir berputus asa ekoran tempoh bekerja yang ekstrem itu, Anna bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal sepanjang proses penggambaran berlangsung.

“Saya tidaklah sampai menangis. Rasa nak putus asa itu ada tapi tidaklah sampai nak berhenti penggambaran. Saya cuma penat sahaja tapi Alhamdulillah tiada kecederaan berlaku,” katanya lagi.

Bagi memastikan stamina dan kesihatannya sentiasa terjaga di set, Anna mengamalkan rutin penjagaan asas selain memastikan momentum emosinya berada dalam keadaan baik.

“Persediaan saya hanyalah minum air, rehat bila perlu dan kena ada pemikiran yang positif. Bila di set, kita akan cepat penat tapi kita ada barisan pelakon, kru, pengarah dan persekitaran yang positif. Penat pun kita tak kisah asalkan kerja selesai,” kongsinya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *