Kuching : Kemenangan album [RE.HAB] sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM 25) dianggap sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap fasa duka dan perjalanan panjang yang dilalui penyanyi, Aisha Retno, untuk kembali berkarya.

Aisha, atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata penghasilan album yang diterbitkan bersama Jaydi dan Seatravel itu berfungsi sebagai proses pemulihan diri selepas berdepan beberapa pengalaman sukar dalam kehidupan dan kariernya sebelum ini.

“Saya sendiri masih tertanya-tanya bagaimana proses penjurian terhadap album ini. Namun, saya sangat berterima kasih kerana mungkin tujuan utama album ini memang untuk menjadi proses ‘rehab’ kepada tragedi yang pernah berlaku pada diri saya, dua atau tiga tahun lalu.

“Mungkin ramai sudah tahu dan mengikuti perjalanan saya selama ini. Tetapi dengan ini, ia menjadi kebangkitan semula untuk saya terus berkarya,” katanya.

Mengulas mengenai keistimewaan [RE.HAB], pelantun lagu Sutera itu percaya bahawa kepelbagaian genre yang dizahirkan menerusi satu album menjadi kekuatan utama yang memikat hati pendengar serta juri.

Aisha turut mendedahkan ibunya, Jean Retno Aryani, sebagai sumber inspirasi nombor satu dalam kerjaya seninya, selain sokongan padu daripada bapa serta adiknya yang turut disifatkan sebagai rakan perniagaan.

Menerusi kemenangan kategori Album Terbaik, Aisha berjaya menewaskan empat saingan hebat lain termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza (Gema Bumantara) dan Shila Amzah (Sa25), sekali gus membawa pulang dana tunai RM200,000 menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

Secara keseluruhan, Aisha cemerlang membawa pulang tiga trofi pada malam kemuncak AIM 25 selepas turut mengungguli kategori Rakaman Album Terbaik serta Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik menerusi lagu O.R.B.I.T.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *