Kuala Lumpur: Pelakon Indonesia, Caitlin Halderman meluahkan rasa simpati dan bimbang terhadap krisis jerebu yang masih melanda beberapa kawasan sehingga menjejaskan kehidupan seharian orang ramai.
Caitlin, 26, berkata situasi jerebu masih berada pada tahap agak teruk dan dia berasa sedih melihat keadaan itu berlarutan tanpa penyelesaian segera.
“Ya, (jerebu) masih agak teruk. Cuma saya tinggal di Jakarta, jadi sebenarnya rakan-rakan di Kalimantan dan Malaysia masih lebih dekat dengan kawasan terjejas berbanding kami.
“Saya pasti kamu semua lebih terkesan berbanding kami yang berada di Jakarta,” katanya.
Caitlin berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala & Tayangan Perdana Viu Original – The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan), di sini, malam tadi.
Pelakon drama Dia Perempuan Sialan itu mengakui warga Jakarta turut merasakan impak isu pencemaran udara, namun puncanya berbeza kerana lebih dipengaruhi oleh aktiviti gunung berapi.
Justeru, Caitlin berharap dapat menyumbang sesuatu bagi meringankan beban mereka yang terjejas, selain mendoakan agar krisis berkenaan pulih secepat mungkin.
“Di Jakarta memang kita terkesan, tetapi ia lebih kepada aktiviti gunung berapi kerana lokasinya lebih dekat berbanding Kalimantan. Saya sedih melihat perkara ini masih berlaku sehingga sekarang.
“Saya harap boleh melakukan sesuatu dan semoga cepat selesai. Saya tahu perkara ini memberikan kesan sangat besar, bukan sahaja di Indonesia, tetapi juga Singapura dan Malaysia,” katanya.
Caitlin kini tampil membintangi siri seram psikologi Viu Original berjudul The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan).
Siri 12 episod arahan Nur Ain Sharif itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Meerqeen, Hannah Delisha, Datin Seri Umie Aida dan Amerul Affendi.
Menggabungkan elemen seram supernatural, misteri keluarga serta cerita rakyat, drama berkenaan mula ditayangkan bermula 18 September lalu, dengan episod baharu bersiaran pada setiap Selasa dan Rabu.