SIRI 3

TIDAK dapat dinafikan, nama penyanyi yang juga jurulatih vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat, 53, cukup sinonim dengan lagu hitsnya, Ingin Bersamamu yang dilancarkan pada 1999.

Menurut Syafinaz, dia juga bersyukur namanya meniti di bibir peminat menerusi lagu ciptaan komposer terkenal Aubrey Suwito dan liriknya oleh Tessh R.S serta terus kekal malar segar sampai sekarang.

“Selepas album pertama berjudul Syafinaz, saya kembali selepas 10 tahun dengan bingkisan album studio kedua iaitu Ingin Bersamamu dan bermulalah kehidupan sebagai penyanyi ketika itu,” katanya.

Berbanding penyanyi lain, kata Syafinaz dia mahu tampil dengan kelainan dan tidak mahu genre muzik pop yang sama seperti artis lain.

Katanya, dia juga meminati genre muzik R&B kerana ia terkini dan pada masa sama juga minat dengan muzik klasikal.

“Saya memilih genre muzik klasikal sebab saya hanya hasilkan bingkisan album 10 tahun sekali tetapi kerjaya sebagai penyanyi tidak mati dan tidak putus sampai sekarang.

“Malah, saya juga masih dapat undangan menyanyi dan persembahan masih tak putus mungkin kerana penganjur tahu kalau muzik klasikal sebegini hanya saya saja yang pelopori dan tidak ada orang lain.

“Jadi saya rasa rezeki dalam bidang nyanyian itu masih bertali arus dan saya bersyukur ia dapat membuka mata orang kepada siapa diri saya,” kata anak murid guru vokal terkenal, Siti Chairani itu.

Mengulas cabaran dihadapi sebagai penyanyi pula, kata Syafinaz, ramai orang yang tidak faham genre muzik yang dipeloporinya itu.

“Contohnya, lagu Ingin Bersamamu walaupun diterima tetapi ada orang yang anggap muzik itu terlalu moden untuk zaman itu.

“Lagu yang dihasilkan pada 1999 dianggap terlalu ke depan dan sangat moden.

“Cabaran saya sebagai penyanyi untuk menunjukkan pada orang mereka boleh menikmati genre muzik sebegitu,” katanya.

Pada pandangan Syafinaz lagi, setiap penyanyi dan pemuzik perlu ada ‘branding’ (penjenamaan) mereka tersendiri.

“Saya melihat diri saya sebagai artis yang tidak perlu sama dengan orang lain. Kalau saya sebagai anak seni yang sama saja dengan artis lain apa kelebihan saya?

“Muzik saya tiada nama tapi macam ‘cross over’ maknanya ada elemen pop dan R&B.

“Teras muzik saya adalah klasikal dan tak semestinya lagu dalam bahasa Inggeris tapi cara saya menyanyi itu adalah teras muzik saya. Muzik saya boleh ada klasikal muzik campur dengan elemen muzik rock, R&B dan latin,” katanya yang mula menyanyi sejak usia sembilan tahun.

Berdasarkan kelainan muzik yang ditampilkan itulah, kata Syafinaz membolehkan namanya terus bertahan selama empat dekad dalam industri muzik tanah air.

“Saya rasa mampu bertahan dalam industri muzik sebab kelainan yang ditampilkan. Walaupun ada orang cakap mereka tidak faham muzik saya. Ada yang cakap muzik saya tidak dikenali di Malaysia, terlalu tinggi dan tidak sedap didengar?

“Saya juga tak boleh paksa untuk orang suka muzik saya sebab dalam lautan pun ada berjuta jenis ikan dan kita boleh pilih mana yang kita nak? Ia terpulanglah pada individu itu sendiri dan kalau mereka tak suka pada muzik saya pun, saya okay sahaja.

“Bagi saya tiada istilah muzik terlalu tinggi atau muzik kampung sebab muzik untuk menghiburkan semua dan ia juga tentang keterbukaan minda kita macam mana nak terima perkara itu,” ujarnya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *