Kuala Lumpur: Penyanyi, Aina Abdul menzahirkan rasa duka dan kehilangan di atas pemergian bekas Wanita Pertama negara, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, kelmarin.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani berkongsi video kenangan sewaktu diberi peluang berkunjung ke kediaman arwah di Langkawi bersama rakan penyanyi, Haziq Rosebi pada 2023.

“Kehilangan yang cukup terasa. Kami pernah dipertemukan pada 2023 menerusi satu peluang yang tidak disangka-sangka, malah mungkin hanya hadir sekali seumur hidup,” tulisnya.

Bercerita lanjut mengenai detik berkenaan, Aina mengakui berasa sangat teruja apabila dapat meluangkan masa serta menyampaikan lagu kesukaan Dr Siti Hasmah yang memang terkenal dengan kecintaannya terhadap seni muzik.

“Sepanjang berada di sana, saya benar-benar teruja. Kami sempat berlatih dan menyanyikan beberapa lagu bersama. Tun memang begitu menyukai muzik. Lagu Biarlah Bulan Bicara ini juga diminta sendiri oleh beliau,” tulisnya.

Tambah penyanyi lagu Terus Hidup itu, keperibadian arwah yang mesra dan penyayang membuatkan tokoh berkenaan amat dihormati serta disayangi seluruh lapisan masyarakat.

“Buat ramai, beliau adalah seorang seniwati yang begitu disayangi. Bagi ramai juga, beliau adalah seorang ibu, seorang insan yang kehadirannya sentiasa terasa dekat di hati.

“Saya akan sentiasa mengingati kehangatan kehadirannya, senyuman lembutnya dan tangan paling hangat yang pernah menggenggam tangan saya,” tulisnya.

Di akhir hantarannya, Aina turut mendoakan agar roh Allahyarhamah Dr Siti Hasmah dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan insan yang beriman.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *