Mengakui pernah tewas dengan godaan ego selepas dinobatkan juara Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9), ia sedikit-sebanyak melambatkan perjalanan kerjaya seninya suatu ketika dahulu.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 42, berkata dia berdepan cabaran besar untuk mengawal egonya demi mempertahankan gelaran juara yang disandang.

“Awal-awal dulu memang saya jaga (gelaran juara). Tetapi bila menang, kita bukan sahaja dapat hadiah, malah ego itu datang sekali. Sebab bila sudah menang, mesti timbul rasa ego untuk menjaga gelaran juara itu.

“Cuma ketika itu, saya tidak tahu bagaimana cara untuk membuang ego sebab sebelum ini saya tidak pernah ada pengalaman menjadi seorang juara,”: katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.Advertisement

Bercerita lanjut, Hazama tidak menafikan sikap tidak sabar, emosi yang tertekan serta mudah melenting menjadi antara punca menyebabkan rentak kerjaya seninya agak perlahan selepas menggenggam gelaran juara.

Bergerak di bawah naungan Astro selepas dinobatkan sebagai juara AF9, Hazama menyifatkan fasa awal kerjayanya sebagai ruang terbaik untuk meneroka potensi dan cita rasa muzik sendiri.Loading…00:0001:00Tonton Non Stop, On Top!

“Selepas menang AF9, semua urusan rakaman adalah di bawah Astro. Dari situ saya dapat peluang untuk cari lagu yang saya suka.

“Bila ada komposer yang bagi lagu dan saya tidak minat, saya tolak. Disebabkan sudah ada gelaran (juara), kita boleh ‘demand’ sikit. Saya tentukan lagu mana yang saya mahu dan tidak mahu,” katanya.

Menurut Hazama, tindakan ‘memilih’ itu bukan disebabkan dia berlagak, sebaliknya mahu mengaplikasikan ilmu yang dipelajari serta menguji sejauh mana kebolehannya seiring dengan kemahuan industri seni.

Mengimbas kembali pembentukan identiti muziknya di awal kerjaya, Hazama mengakui lagu popularnya, Cinta Teragung bukanlah ‘trademark’ sebenar gaya nyanyiannya.

Pencarian identiti muziknya akhirnya membuahkan hasil menerusi lagu Relakan Jiwa yang disifatkannya sebagai ‘killer song’ sebenar selepas melalui pelbagai proses pembelajaran.

“Masa lagu Cinta Teragung itu saya tidak jumpa lagi identiti nak menyanyi macam mana. Tetapi bila rakam lagu Relakan Jiwa, barulah saya jumpa ‘trademark’ lagu saya,” katanya.

Pernah melalui fasa ‘hanyut’ dengan gelaran juara, Hazama mengakui sikap kurang matang menjadi faktor utama yang membendung kelancaran langkah kerjayanya selepas tamat program realiti AF9.

“Bagi saya itu semua pengalaman. Bila benda itu berlaku, mesti ada kesannya dan dari situ saya belajar. Lagi banyak benda berlaku dan lagi banyak kesan yang diterima, lagi banyak saya belajar.

“Sekurang-kurangnya untuk diri saya sekarang, saya dah tahu apa yang boleh dan tidak boleh buat, serta tanggungjawab saya sebagai penggiat seni,” katanya.

Berada dalam industri seni selama dua dekad, Hazama kini membuang segala persepsi bahawa bidang seni bukan sekadar pentas mencari glamor.

Katanya, kesedaran tentang peranan sebenar seorang penggiat seni terhadap negara dan generasi muda akhirnya membantunya menemui hala tuju kerjaya lebih jelas.

HAZAMA akan terus berkarya dan berkhidmat sebagai anak seni selagi ada permintaan dari para peminat.
HAZAMA akan terus berkarya dan berkhidmat sebagai anak seni selagi ada permintaan dari para peminat.

“Dulu saya menyanyi untuk glamor, sebab itu wujudnya ego. Tetapi bila saya ubah ‘mindset’ bahawa menyanyi ini adalah tanggungjawab untuk menyumbang hasil bunyi muzik dalam Malaysia, saya mula sedar kepentingan muzik untuk negara.

“Sebagai anak seni, kita ada tanggungjawab kepada generasi di bawah kita dan itu yang kita kena berikan. Bila saya tukar ‘mindset’ itu, barulah saya nampak hala tuju saya yang sebenar,” katanya.

Usai melalui pelbagai fasa suka duka dan pendedahan dalam industri muzik, Hazama turut melebarkan sayap seni dengan mencabar kemampuan diri sebagai seorang penulis lirik.

Menurutnya, keputusan untuk meneroka bidang penulisan lagu dibuat selepas menyedari bahawa ia adalah proses yang paling mencabar dalam penghasilan sesebuah karya.

“Apa cerita yang kita nak sampaikan dengan melodi, cerita itu yang susah. Sebab dalam kata-kata yang kita lontarkan, ada isi yang kita mahu letak dan ini akan mempengaruhi orang.

“Bila kita tahu tanggungjawab besar, barulah kita tulis untuk memberi orang dengar hasil karya kita. Dalam penulisan lirik mesti ada nilai moral, sebab ia bukan sekadar kata-kata biasa tetapi seni kata yang ada komitmen padanya,” katanya.

Menurutnya, penghasilan lirik memerlukan pemikiran yang mendalam demi menyajikan seni bermutu tinggi kepada industri.

Meniti perjalanan seni sejak remaja, Hazama tidak pernah meletakkan sebarang ‘benchmark’ untuk berehat daripada industri seni tanah air.

Menurut Hazama, seluruh jiwa dan raganya didedikasikan sepenuhnya untuk industri selagi perkhidmatannya masih diperlukan peminat.

“Tubuh badan, nafas, ‘mindset’ dan hati saya memang untuk industri muzik Malaysia.

“Selagi manusia di luar sana masih mahu mendengar suara saya, mahu mendengar karya saya dan mahu lihat saya, selagi itulah saya akan kekal dalam industri seni,” katanya lagi.

Hazama yang tercalon sebagai finalis dalam Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40), berkata, dia sedia untuk beraksi di atas pentas dalam apa jua keadaan fizikal demi menghiburkan orang ramai.

“Bagi saya, kalau kena duduk atas kerusi roda sekalipun, jika orang masih nak dengar suara saya, saya akan berikan.

“Sebab di dunia ini, saya dilahirkan untuk menjadi insan sedemikian. Jadi selagi khidmat saya diperlukan dalam dunia seni, selagi itulah saya akan berkhidmat sebagai seorang penglipur lara,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *