Kuala Lumpur : Bintang Hollywood, Mark Wahlberg dilaporkan berada di Pulau Pinang bagi menjalani penggambaran filem terbaharu Netflix berjudul The Big Fix.

Penggambaran berkenaan dijangka membabitkan beberapa lokasi menarik di sekitar negeri Utara tanah air itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran memberitahu New Straits Times penggambaran sudah bermula pada Jumaat lalu dan dijangka berterusan selama kira-kira dua minggu.

Beliau memaklumkan antara lokasi yang terbabit termasuklah Lorong Kulit, Stadium Bandaraya, Stadium Batu Kawan dan Padang Macallum.

Produksi yang diselaraskan di peringkat tempatan oleh Biscuit Films itu menyaksikan Wahlberg bergandingan bersama aktor Britain, Riz Ahmed.Advertisement

Sesi penggambaran itu mula mendapat perhatian umum selepas laman Facebook ‘Rakyat E-Hailing MY’ berkongsi video semalam yang menunjukkan Wahlberg berada di lokasi penggambaran di Lebuh Melayu, George Town.

Beliau dilihat berdiri di sebelah sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak sambil dikelilingi oleh kenderaan dan kru produksi.

Hantaran itu mencetuskan keterujaan warga maya, dengan ramai diantara mereka berasa terhibur melihat superstar Hollywood itu berada bersebelahan dengan kereta ikonik Malaysia berkenaan.

“Filem Transformers baharu? Saya nak tengok Kelisa itu akan bertukar jadi Transformer apa.” ujar seorang warga maya.

“Tidak lama lagi mungkin ada iklan berbunyi: ‘Perodua Kelisa yang pernah dipandu oleh Mark Wahlberg untuk dijual’ dengan harga ‘jackpot’ RM500,000.” kata warga net yang lain.

Beberapa pengguna media sosial turut membuat spekulasi sama ada Wahlberg ada singgah di restoran popular Nasi Kandar Sulaiman, walaupun perkara itu masih belum disahkan.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac turut mengesahkan kehadiran produksi berkenaan di Malaysia menerusi komen pada hantaran berkenaan.

Filem The Big Fix dilaporkan berkisar tentang seorang pegawai Interpol yang mempunyai kaitan dengan Fifa, yang kemudiannya membongkar sindiket mengatur perlawanan global sekali gus mencetuskan siasatan antarabangsa yang berisiko tinggi.

Produksi Netflix ini difahamkan menjalankan penggambaran utama di Sydney, dengan beberapa babak tambahan dirakam di beberapa buah negara, termasuk Malaysia.

Filem ini turut menampilkan pelakon Singapura, Chin Han; pelakon India, Vipin Sharma; dan pelakon wanita Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nuha Jes Izman.

Wahlberg, 55, merupakan antara pelakon dan penerbit paling terkenal di Hollywood, yang pernah membintangi filem-filem hebat termasuk The Departed, The Fighter, The Italian Job, Ted, Lone Survivor, Patriots Day, Daddy’s Home dan francais Transformers.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *