FILEM: Badut Gendong

PENGARAH: Charles Gozali dan Imron Ayikayu

PENULIS: Asaf Antariksa, Charles Gozali dan Dharma Putra

PELAKON: Marthino Lio, Clara Bernadeth, Derby Romero, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Vonny Anggraini, Totos Rasiti, Insan Nur Akbar, Barry Prima dan Jose Rizal Manua

TAYANGAN: 25 Jun 2026

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Luar jangkaan! Itu kata-kata yang dapat saya gambarkan mengenai filem terbaharu arahan pengarah, Charles Gozali, Badut Gendong.

Filem bergenre seram dan mencemaskan dari Indonesia ini sedikit sebanyak dapat menebus semula filem seram yang sebelum ini agak mengecewakan di pawagam.

Sebelum pergi lebih jauh, saya kongsikan sedikit sinopsis filem berdurasi 100 minit ini.

Secara ringkasnya, Badut Gendong mengisahkan Darso, seorang pengamen (penghibur jalanan) yang membawa badut gendong untuk mencari rezeki bersama isterinya, Darsi.

Pada hari Darsi memaklumkan berita bahagia mengenai kehamilannya, siapa sangka hari indah itu bertukar menjadi mimpi ngeri buat rumah tangga mereka.

Dalam perjalanan pulang, Darso dan Darsi diganggu samseng jalanan. Saat dirompak, salah seorang samseng menyerang Darsi menyebabkan kematian wanita itu.

Kematian Darsi membuatkan Darso keliru dan cuba membawa pulang jenazah isterinya ke kampung halaman mereka dengan memasukkan jasad Darsi dalam badut gendong yang dibawanya.

Siapa sangka, kepulangannya ke kampung halaman disambut dengan insiden berdarah apabila upacara ritual yang dilakukan sejak sekian lama oleh penduduk kampung setiap kali musim menuai tebu, diganggu samseng upahan pemaju tanah.

Insiden itu sekali gus memaksa ketua yang mengepalai upacara itu, Ki Kamboja melontarkan sumpah selepas parah.

BABAK Ki Kamboja lakonan Barry Prima.
BABAK Ki Kamboja lakonan Barry Prima.

Dari situ, bermula mimpi ngeri yang lebih dahsyat bukan sahaja buat Darso, tetapi juga penduduk kampung serta samseng upahan pemaju hartanah.

Dari sudut jalan cerita, Badut Gendong membawa jalan cerita yang lain daripada kebiasaan. Mungkin di Indonesia, kisah ini pernah didengar, tetapi untuk saya, ini sesuatu yang baharu.

Perkembangan plot dan kronologi disusun dengan baik tanpa babak yang terlalu meleret-leret. Semuanya berkembang dengan kemas dan padat, penuh dengan emosi serta memberi pemahaman jelas kepada penonton.

Penonton tidak perlu menunggu lama untuk menantikan babak berdarah yang boleh saya katakan, agak banyak untuk sebuah filem seram.

Lakonan Marthino Lio sebagai Darso layak diberikan pujian. Menjadi Darso yang lemah dan Darso yang dikawal oleh roh isterinya sangat mengagumkan.

Mana tidaknya, kebanyakan babak aksi saat Darso dirasuk, dilakonkan dengan matanya tertutup umpama sedang ‘tertidur’.

Pergerakan, ekspresi wajah dikawal dengan cukup kemas sehingga saya sebagai penonton berasa sangat yakin bahawa badut gendong yang mengawal tubuh Darso.

Babak pembalasan dendam sangat memuaskan hati. Sebagai peminat karya bercorak balas dendam, saya merasakan Badut Gendong menyajikan babak balas dendam yang sememangnya dinanti-nantikan.

Dalam pada hati kecil saya selalu juga berharap supaya badut gendong yang ‘terisi’ dengan roh Darsi, tidak melakukan kejahatan kepada mereka yang tidak bersalah, nyata, harapan saya kandas!

Roh yang penuh dendam melakukan apa sahaja yang dirasakan betul.

Secara tersirat, kita dapat saksikan bagaimana masyarakat miskin menjadi bahan jenaka buat sesetengah individu. Dipandang hina, diperkecilkan sehingga dendam membengkak dalam jiwa.

Dalam pada bersimpati kepada mereka yang tidak bersalah, timbul juga rasa puas dan berpihak kepada pembalasan dendam kerana Darso dan Darsi berdepan ujian demi ujian dalam kehidupan mereka.

Yang pasti, Badut Gendong layak dan seharusnya ditonton oleh mereka yang menantikan satu lagi naskhah seram dari negara jiran.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *