SELAIN Festival Filem Malaysia (FFM), turut menarik perhatian ramai terutama kalangan penggiat industri seni tempatan adalah Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest).

Diam tak diam, tahun ini menjadi penganjuran MIFFest edisi kesembilan dan sebanyak 35 negara turut serta dengan kira-kira 65 filem dari seluruh dunia akan ditayangkan sepanjang festival berlangsung.

Bertempat di Immersify Kuala Lumpur, MIFFest 2026 yang bermula pada 18 hingga 25 Julai depan akan menjadi platform sinema antarabangsa untuk merai kepelbagaian budaya, bahasa dan perspektif penceritaan visual.

Presiden MIFFest 2026, Joanne Goh berkata, pihaknya sentiasa gigih berusaha dengan komited dalam memperkukuhkan pertukaran budaya menerusi karya yang merentasi sempadan dan latar kehidupan berbeza.

“Apa yang menarik pada penganjuran MIFFest 2026 kali ini adalah kembalinya segmen dikenali A-Lister memaparkan hasil karya pengarah terkenal dunia, Neon dengan memberi tumpuan kepada pembikinan filem terbaharunya, Manifesto

“Karya filem Manifesto ini bergenre dokumentari dan bukan fiksyen. Malah, selain itu ditampilkan juga segmen Malaysian Dispatch sebagai merai kreativiti dan kekuatan karya industri perfileman tempatan yang berkualiti buat penonton MIFFest,”v katanya.

Joanne ditemui pada majlis pelancaran rasmi program MIFFest 2026 yang juga memperkenalkan barisan juri profesional serta duta terpilih.

Menurutnya, penganjuran MIFFest 2026 sama sekali melihat betapa platform sinema antarabangsa turut berupaya meraikan kepelbagaian budaya, bahasa dan perspektif menerusi penceritaan visual.

“Ada karya dalam 27 bahasa dibawa ke MIFFest 2026 ini merangkumi pelbagai kategori tayangan termasuk dua Tayangan Perdana Dunia, satu Tayangan Perdana Antarabangsa dan tiga Tayangan Perdana Asia.

“Tidak hanya itu, kira-kira 12 Tayangan Perdana Asia Tenggara serta sebanyak 28 Tayangan Perdana Malaysia juga disediakan. Kami berharap semoga peluang menarik ini tidak dilepaskan oleh orang ramai,” katanya.

Bukan sekadar tayangan filem terbaik antarabangsa semata-mata, MIFFest juga mengangkat peranan sebagai medan pertukaran budaya menghubung pembikin filem, penggiat industri dan penonton melalui bahasa ‘universal’ sinema.

Pada MIFFest 2026 ini juga filem tempatan berjudul BAGA: Tomorrow Belongs To No One arahan Ariff Zulkarnain dipilih sebagai filem pembukaan untuk Tayangan Perdana Dunia.

Manakala, filem berjudul Yellow Letters yang diarahkan sutradara dari Turki dikenali Ilker Catak pula dipilih sebagai filem penutup bagi Tayangan Perdana Dunia.

Karya filem sentuhan pengarah Korea Selatan, Lee Chang-dong difahamkan terpilih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kerana menghargai sumbangan besarnya dalam industri seni antarabangsa.

Bersempena pengiktirafan itu, MIFFest 2026 turut menayangkan dua karya hebat sentuhan kreativiti air tangan Chang-Dong iaitu Peppermint Candy dan Oasis.

Dalam pada itu, Lee menjadi antara penggiat seni dengan karya sentuhan merentasi budaya dan generasi melalui kejujuran, belas ihsan dan pemahaman mendalam terhadap kemanusiaan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *