Selepas hampir dua tahun tidak tampil dengan sebarang buah tangan solo, bekas vokalis kumpulan 6ixthsense, Adi Priyo Sambodo kembali mengubati kerinduan peminat dengan naskhah terbaharu berjudul Semua Dulu.

Menjadikan fasa baharu buat dirinya yang kini sudah 21 tahun bergelar anak seni, Adi, 43, menganggap kesibukan tugas sebagai bapa dan komposer bukan penghalang untuk terus meneroka potensi diri.

“Lagu Semua Dulu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh saya sendiri. Ia adalah hadiah istimewa buat seluruh pendengar dan peminat yang tidak pernah lelah menyokong kerjaya muzik saya sepanjang dua dekad ini,” katanya.

Berkongsi mengenai penceritaan di sebalik lagu berkenaan, Adi menjelaskan ia menyentuh tentang fasa duka sebuah perpisahan apabila sepasang kekasih tidak lagi sehaluan.

“Setiap kata manis yang pernah diucapkan dahulu kini bertukar menjadi kenangan yang sangat menyakitkan. Kesepian yang dilalui membuatkan luka itu makin terasa, apatah lagi bila janji manis bertukar pahit.

“Cinta yang dahulunya menjadi tujuan utama, akhirnya membuatkan mereka saling menjadi orang asing apabila berpisah. Ia tentang kemanisan di awal pertemuan yang berakhir dengan kepahitan,” ujarnya.

Proses pembikinan lagu yang mengambil masa selama dua bulan ini turut mendapat sentuhan Amir Sulaiman selaku jururakam, Hafeez Aledrus sebagai produser, manakala Adi sendiri bertindak sebagai penyusun muzik (music arranger).

Ditanya mengenai cabaran, Adi tidak menafikan proses menyiapkan single kali ini menuntut kesabaran yang tinggi terutamanya daripada segi fizikal.

“Pada mulanya, cabaran utama adalah berkaitan dengan faktor kesihatan sewaktu sesi rakaman sedang berjalan. Namun, alhamdulillah, saya dapat mengatasi rintangan tersebut dan menyiapkan lagu ini dengan sempurna,” katanya lagi.

Menariknya, muzik video (MV) rasmi Semua Dulu yang kini boleh ditonton di saluran YouTube NAR Music turut menampilkan kelainan apabila membawa mesej yang sangat mendalam.

Menerusi MV berkenaan, Adi membawa penampilan istimewa beberapa individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam diari hidupnya untuk berkongsi cebisan kisah pahit manis kehidupan mereka.

Sementara itu, pihak pengurusan NAR Music melahirkan harapan agar karya ini mampu dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat selain menonjolkan lagi sisi matang Adi Priyo sebagai seorang vokalis yang versatil.

Semua Dulu sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, iTunes, Joox, Deezer dan YouTube bermula sekarang.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *