Kuala Lumpur: Pemain gitar Barbarik, JoBranko menyifatkan vokalis mereka, Muss atau Mustaffa Din, 58, adalah seorang yang komited dan serius terhadap karier seni walau apa juga keadaan dialaminya.

Jobranko atau nama sebenar Abdul Zamin Abdul Kadir, 57, berkata Muss yang dikenalinya akan melakukan yang terbaik dalam persembahannya walaupun harus menyanyikan lagu bernada paling tinggi.

“Dia (Muss) sebenarnya sejak dari zaman kami dulu pun (era 1990-an) memang macam itu komitmennya. Dia antara penyanyi bersama kita yang sudah tahu muzik apa kita nak buat untuknya, dia sudah tahu.

“Pasal dia (Muss) sangat komited dan sangat serius apa dia nak buat. Mungkin ‘start’ masa (program) Muzik-Muzik dulu kan dia ada ‘feel’ dekat dalam TV, jadi itu yang motivasi kepada dia dan bangkit dari situ,” katanya.

JoBranko berkata demikian pada sidang media Konsert Biru Mata Hitamku di ibu negara, semalam.

Konsert berkenaan bakal menggandingkan JoBranko, Muss, Black dan Eddie sempena 30 Tahun Anniversary di Mega Star Arena, di sini, pada 5 September depan.

Menurutnya lagi, Muss sentiasa mahu yang terbaik dalam persembahannya demi kepuasan peminat dan dirinya.

“Kadang-kadang daripada ‘failed (gagal) itu, kita boleh lulus dengan tinggi. Macam ada satu program dibuat dengan Datuk Ramli MS dulu, dia (Muss) bayar balik (beri persembahan terbaik) malam itu.

“Kita tengok memang berbeza persembahan dia (Muss) daripada penyanyi lain, dia yang ‘outstanding’ sebab bahagian susah itu memang Ramli pun tahu Muss sahaja boleh bawa.

“Jadi, sampai sekaranglah kita tengok cara kerja Muss macam itu. Saya pun kalau tak ada Muss, susah nak bergerak (buat show). Sebab, kita pun perlukan penyanyi betul-betul macam dia yang komited,” katanya.

Katanya, sikap Muss yang mudah memberi kerjasama sangat menyenangkan kerana dia seorang yang ambil tahu dan bertanya awal walaupun sesebuah konsert akan berlangsung beberapa bulan lagi.

“Dia (Muss) awal-awal lagi sudah ambil tahu dan tanya apa benda nak buat. Dia memang komited sebab kita pun tahu dia ada bergerak menyanyi solo juga,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai Konsert Biru Mata Hitamku, Jobranko berkata, dia tidak mahu membebankan Muss kerana mahu semua anggota kumpulan gembira dan tiada tekanan.

“Begitu juga (bekas anggota Wings) Eddie dan Black, saya nak mereka enjoy masa buat persembahan. Kita tidak perlu buat macam masa usia masing-masing masih muda, 30 tahun yang dulu, tidak perlu.

“Ini kerana pengikut kita nak tengok Konsert Biru Mata Hitamku ini sekadar untuk berhibur sahaja. Bersyukur dan janganlah nak minta lebih-lebih sangat sebab kita semua ini sudah berusia, tidak macam dulu lagi,” katanya.

Menurutnya, pada usia sekarang, mereka berempat hanya buat yang termampu walaupun ketika persembahan mungkin bertukar lain disebabkan ‘energy’ diberikan oleh penonton yang hadir menyaksikan konsert itu.

“‘Tenaga’ diberikan oleh penontonlah yang membuatkan kami jadi lebih bersemangat untuk menjayakan konsert selama dua jam walaupun jika diikut masing-masing sudah berusia,” katanya.

Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary dibawakan oleh Icon Entertainment dan tiket berharga antara RM1,500 (Grand VIP) hingga RM288 (Idaman) akan mula dijual pada 3 Julai ini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *