PETALING JAYA: Gitaris Barbarik, JoBranko mengakui tidak lagi meletakkan sasaran untuk mempromosikan lagu baharu kumpulan itu di stesen radio berikutan syarat tertentu yang disifatkan boleh mengehadkan kreativiti dalam penghasilan karya.
JoBranko berkata, sebagai pemuzik berkumpulan, mereka memilih untuk bergerak dengan pendekatan berbeza apabila terdapat kekangan tertentu termasuk tempoh durasi lagu yang perlu dipatuhi.
Menurut bekas anggota Wings itu, perkembangan platform digital dan media sosial kini membuka ruang lebih luas untuk karya muzik dipasarkan secara terus kepada pendengar.
“Sekarang saya hasilkan lagu tanpa terlalu memikirkan soal radio kerana ada syarat tertentu yang boleh membuatkan kreativiti jadi terbatas.
“Contohnya, ada ketetapan lagu perlu berdurasi tiga minit setengah atau dua minit setengah. Bagi kami, perkara itu memberi cabaran kepada proses berkarya.
“Jadi sekarang kami sudah ada platform sendiri menerusi media sosial dan boleh bergerak dengan cara berbeza,” katanya pada sidang media selepas Konsert Black On White: Cromok-Barbarik di Idea Live Arena, 3 Damansara, malam tadi.
Bagaimanapun, JoBranko atau nama sebenar Abdul Zamin Abdul Kadir, 57, berkata pihaknya tetap menghargai sekiranya karya mereka diberi ruang untuk diputarkan di mana-mana saluran penyiaran.
“Kalau ada pihak mahu memainkan lagu yang kami hasilkan, kami gembira. Tetapi kalau tidak, kami tidak boleh memaksa kerana kami tetap akan terus menghasilkan muzik,” katanya.
Dalam masa sama, JoBranko berkata Barbarik tidak mahu menghasilkan lagu semata-mata untuk memenuhi kehendak pasaran kerana elemen eksperimentasi menjadi identiti utama kumpulan itu.
Katanya, setiap karya perlu membawa pembaharuan dan tidak sekadar mengulangi formula yang sama.
“Kita tidak boleh terlalu mengikut kehendak orang kerana setiap karya mesti ada unsur eksperimental.
“Apabila menghasilkan album, kita tidak mahu mengulang perkara yang sama. Kalau lagu disyaratkan perlu tiga minit setengah atau mesti berkonsep balada, kadang-kadang muzik itu jadi kurang menarik.
“Untuk band, muzik itu sendiri adalah perkara paling utama,” katanya.
Menerusi Konsert Black On White: Cromok-Barbarik yang turut menampilkan Cromok, Barbarik turut memperdengarkan karya baharu buat pertama kali kepada peminat.