Kuala Lumpur: Berkongsi pentas dengan kumpulan legenda Indonesia, Dewa 19 buat kali pertama di Malaysia tidak sedikit pun membuatkan Padi Reborn berasa kerdil.
Sebaliknya, peluang itu dianggap satu penghormatan dan kesempatan terbaik untuk menghiburkan dua kelompok peminat setia, Baladewa dan Sobat Padi dalam satu malam yang bakal membangkit nostalgia.
Pemain bass Padi Reborn, Rindra berkata, seiring nama kumpulan itu yang diambil daripada falsafah padi, mereka terus merendah diri walaupun hampir tiga dekad mewarnai industri muzik Indonesia.
“Kami dengan senang hati menghiburkan Baladewa meskipun ada yang mungkin tidak mengenali lagu-lagu kami. Itulah konsep Padi.
“Ia juga menjadi peringatan buat kami supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Dalam perjalanan berkarya, kadang-kadang seseorang boleh terlupa diri sebab itu kami perlu sentiasa merendah diri.
“Mungkin tanpa sedar, Padi sudah 29 tahun bersama. Takdirnya kami mendapat nama Padi daripada Yoyo. Sejak itu kami berusaha untuk terus menjadi seperti padi, semakin berisi semakin tunduk,” katanya pada sesi temu bual media di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, semalam.
Sementara itu, vokalisnya, Fadly berkata, Konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia bukan sekadar pentas hiburan, sebaliknya menjadi medium menyatukan peminat menerusi muzik.
“Kembali kepada falsafah muzik, muzik itu menghiburkan dan menyatukan, bukannya memecah-belahkan. Itulah energi yang kami bawa bersama Dewa 19.
“Sebenarnya, tajuk Cintaku Tertinggal di Malaysia sangat tepat kerana kami datang untuk melepaskan rindu dengan peminat yang merindui lagu-lagu Padi dan Dewa 19.
“Itulah yang akan menjadikan konsert ini sesuatu yang sukar dilupakan. Kami sentiasa menyerap energi daripada peminat. Walau seletih mana sekalipun, semuanya hilang apabila melihat semangat mereka.
“Saya sering merasakan perkara itu setiap kali mengadakan konsert. Saat sakit sekalipun, semuanya boleh hilang apabila berhadapan dengan peminat,” katanya.
Kali terakhir Padi Reborn dan Dewa 19 berkongsi pentas adalah menerusi Konsert Larut Dalam Harmony yang berlangsung di Jakarta, Surabaya dan Makassar pada 2018.
Malam ini, Dewa 19 kembali mengubat kerinduan peminat selepas tiga tahun tidak mengadakan persembahan di negara ini. Selain Ahmad Dhani, konsert itu turut menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe.