Kuala Lumpur: Siapa sangka sesi soal jawab santai antara vokalis kumpulan SOG, Raja Nazrin Shah dan adiknya, Raja Nazmin Shah menarik perhatian hingga tular di media sosial apabila netizen kagum dengan kepantasan mereka menjawab pelbagai soalan.

Raja Nazrin atau nama sebenarnya Raja Nazrin Shah Raja Azaham, 39, berkata dia tidak menyangka rakaman spontan itu mencetuskan pelbagai reaksi positif, malah ada yang menganggap mereka mempunyai tahap pemikiran yang luar biasa.

“Saya memang terkejut apabila video itu tiba-tiba tular. Ramai yang komen kata kami bijak dan cepat berfikir. Ada juga yang bertanya macam mana nak hubungi kami untuk ajar anak mereka.

“Malah, ada yang berseloroh mengatakan otak kami bergerak lebih laju daripada yang mereka sangka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Spotlight di KL Convention Centre, di sini, semalam.

Menurut penyanyi lagu Pelangi itu, kebanyakan komen yang diterima bersifat positif dan menghiburkan sehingga membuatkan mereka tidak kering gusi membaca pelbagai reaksi netizen.

“Kami memang baca komen-komen itu dan rasa terhibur. Kadang-kadang cara netizen memberi komen sangat kreatif sampai kami sendiri tak terfikir.

“Bila baca, rasa hari jadi lebih ceria walaupun jumlah komen yang masuk beratus, malah beribu,” katanya.

Mengulas lanjut, Raja Nazrin berkata, video berkenaan sebenarnya dirakam secara spontan selepas sesi ujian bunyi tanpa sebarang skrip atau perancangan awal.

“Waktu itu kami baru selesai sound check. Mereka tanya beberapa soalan dan kami jawab seperti biasa secara natural.

“Memang tiada rancangan untuk menghasilkan kandungan yang boleh tular. Semuanya berlaku secara spontan dan kami sendiri tidak menjangkakan sambutan yang diterima,” katanya.

Katanya, video itu secara tidak langsung membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali personaliti sebenar dirinya dan adiknya yang selama ini mungkin dilihat serius oleh sesetengah pihak.

“Ramai yang sangka kami ini agak keras. Tetapi selepas menonton video itu, mereka nampak sisi lain kami.

“Biasalah, orang akan menilai berdasarkan apa yang mereka lihat terlebih dahulu. Apabila sudah mengenali seseorang, mungkin persepsi itu akan berubah,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *