Kuala Lumpur: “Saya doakan Hussain bergelar juara dan capai tahap tertinggi dalam karier nyanyian,” kata penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, 66, mengenai prestasi persembahan anak saudaranya yang bersaing dalam program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim kedua.
Jamal berkata, dia juga nampak Hussain yang juga anak kepada adiknya, penyanyi otai, Jamilul Hayat memiliki bakat dan mampu diketengahkan dalam bidang nyanyian
“Setiap hujung minggu, agenda seni saya memang padat dengan undangan persembahan, jadi saya terlepas peluang untuk tengok Hussain menyanyi secara langsung di kaca TV.
“Tapi, saya tetap mengikuti perkembangan dan tengok persembahannya di TikTok.
“Selain itu, anak saya, Osama juga ada muncul dalam program realiti terbabit untuk mengiringi persembahan Hussain dengan bermain gitar, sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata Jamal, dia juga melihat ada peningkatan pada prestasi persembahan Hussain pada setiap minggu.
“Nampaknya, Hussain sudah ada peningkatan dari segi pengawalan suara dan kawalan pentas.
“Dia tiada pengalaman tapi bila ada koreografer dan guru vokal yang mengajar maka vokal dan penguasaan pentasnya bertambah baik.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada guru vokal yang membimbing dan bahagian koreografi yang disediakan pihak Astro itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kata Jamal, dia juga akan menampilkan Hussain dalam Konsert DJA Show yang juga program legasi yang menampilkan ahli keluarga dan sanak saudaranya yang terbabit dalam bidang seni.
“Saya undang Hussain untuk tampil dalam program legasi itu kerana dia anak saudara yang juga bakat baharu yang sedang meningkat naik.
“Selain itu, dua anak saya iaitu Osama dan Zaki Yamani juga akan muncul dalam konsert ini di mana kami akan berkolaborasi dalam persembahan di pentas.
“Selain ahli keluarga, lebih 50 artis terkenal akan terbabit dalam konsert legasi ini termasuk Fauziah Ahmad Daud, Azlan & Typewriter dan ramai lagi,” katanya.