Kuala Lumpur: “Sejujurnya, kami memang tidak menjangkakan langsung kemenangan ini,” kata penerbit bersekutu dokumentari, ‘Turning Point: The Vietnam War’, Cheyenne Tan selepas melakar sejarah apabila memenangi Anugerah Emmy 2026, baru-baru ini.

Cheyenne yang bertindak sebagai penerbit bersekutu bagi keseluruhan siri dokumentari Netflix berkenaan mengakui, dia dan seluruh kru produksi terkejut dengan pengiktirafan bagi Anugerah Penyelidikan Cemerlang itu memandangkan persaingan dalam kategori terbabit sangat sengit.

Berkongsi perasaannya, Cheyenne mendedahkan syarikat produksi yang disertainya, Luminant Media, sebelum ini sudah kerap kali menerima pencalonan menerusi pelbagai projek berbeza, namun rezeki tidak pernah menyebelahi mereka untuk membawa pulang trofi.

“Bukan sahaja syarikat produksi, saya sendiri pun pernah tercalon sebelum projek ini menerusi sebuah filem pendek, tetapi rezeki tidak menyebelahi kami ketika itu.Advertisement

“Pada mulanya saya memang fikir kami tidak akan menang kerana saingan sangat hebat. Malah, apabila kami menghasilkan sesebuah projek, fokus utama kami adalah jalan cerita, naskhah berkenaan dan juga individu yang kami paparkan kisahnya.

“Kami tidak pernah meletakkan sasaran atau berfikir mahu menang anugerah besar seperti Emmy mahupun Oscar sewaktu menyiapkannya,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Cheyenne, pencalonan awal yang diterima untuk kategori spesifik itu sudah cukup mengejutkan mereka, apatah lagi apabila diumumkan sebagai pemenang.

Mengulas mengenai pembikinan dokumentari terbabit, Cheyenne melahirkan rasa bangga dengan kerja keras pasukannya yang meletakkan komitmen tinggi dalam melakukan proses penyelidikan.

“Subjek dokumentari ini sangat berpaksikan sejarah dan ia adalah isu yang amat sensitif bagi kebanyakan mangsa yang terselamat dalam perang berkenaan. Kami mahu memberikan keadilan dan melakukan yang terbaik demi mereka.

“Kami sangat bangga dengan hasil kerja kami, namun apabila ia mendapat pengiktirafan tertinggi sebegini, ia sememangnya satu kejutan yang sangat manis. Saya amat bangga dan gembira untuk seluruh pasukan,” katanya.

Ditanya mengenai impak kemenangan anugerah berprestij itu terhadap kerjaya peribadi dan pasukan produksi, Cheyenne mengharapkan ia mampu menjadi batu lonjakan, meskipun sedar realiti industri seni di Amerika Syarikat amat kompetitif.

“Secara peribadi, sudah tentu ia sangat membantu perkembangan karier. Pencalonan dan trofi kemenangan ini amat besar maknanya kerana kini saya boleh bangga mengatakan bahawa saya telah menghasilkan sebuah karya yang diiktiraf sebagai yang terbaik untuk tahun ini bagi kategori spesifik berkenaan.

“Kami dinilai dan diiktiraf khusus atas kerja-kerja penyelidikan yang sangat spesifik. Sebagai pembikin filem dokumentari dan penerbit, saya rasa sangat bertuah,” katanya lagi.

Cheyenne yang menetap di Los Angeles, sempat berkongsi mengenai peranan sebenar seorang penerbit yang sering kali kurang difahami oleh masyarakat luar mahupun warga industri sendiri.

“Selalunya orang tidak tahu apa sebenarnya tugas seorang penerbit. Saya selalu katakan, penerbit adalah individu yang merealisasikan sesuatu perkara. Memang sukar untuk dijelaskan secara terperinci.

“Namun, apabila pasukan penerbit di belakang tabir ini diiktiraf, iaitu mereka yang menguruskan segala-galanya daripada bajet, jalan cerita, logistik, hinggalah kebajikan kru, ia adalah satu perkara yang sangat menggembirakan,” kongsinya.

Terdahulu, siri dokumentari lima episod ‘Turning Point: The Vietnam War’ ditayangkan di seluruh dunia melalui Netflix menerima Anugerah Emmys 2026 bagi kategori Penyelidikan Cemerlang, baru-baru ini.

Diterbitkan oleh Luminant Media dan diarahkan oleh Brian Knappenberger, siri lima episod ini dilancarkan bersempena ulang tahun ke-50 kejatuhan Saigon pada tahun lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *