Kuala Lumpur: “Dia bukan dipaksa, dia sendiri mahu temankan saya berniaga.”
Demikian penjelasan isteri kepada pelakon veteran, Aman Graseka iaitu Reena Arina yang tampil menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya dia memaksa suaminya yang sedang uzur untuk bekerja dan berniaga.
Reena berkata, segala tuduhan itu tidak berasas kerana suaminya memilih untuk menemaninya berniaga atas dasar tanggungjawab dan kebimbangan terhadap keselamatannya.
“Kerja memasak dan semua urusan lain saya buat bersama mak dan keluarga. Abang Aman hanya risau saya keluar berniaga seorang diri, jadi dia temankan.
“Saya tak boleh buka payung, dia tolong buka payung. Dia susun makanan sedikit sebanyak sahaja, bukannya angkat kayu balak pun,” katanya menerusi video penjelasan di TikTok.
Menurut Reena, dia terkilan apabila wujud dakwaan kononnya suaminya tidak mendapat rehat secukupnya sehingga terpaksa bekerja dalam keadaan tidak sihat.
Sebaliknya, kata Reena, Aman yang menghidap diabetes sendiri mahu berada di sisi bagi memberi sokongan moral serta mengelakkan persepsi negatif masyarakat.
“Dia sendiri risau kalau orang kata dia ada isteri, tetapi biar isteri berniaga seorang diri. Dia tak mahu orang tuduh dia makan hasil titik peluh saya. Jadi dia pilih untuk temankan saya, bukan sebab dipaksa,” katanya.
Reena turut menafikan dakwaan kononnya dia mengerah suaminya sehingga tidak mendapat rehat mencukupi, termasuk membangunkan Aman pada waktu pagi untuk ke pasar.
Sebaliknya, katanya, rutin itu dilakukan secara berasingan bagi menjaga keadaan kesihatan aktor berkenaan.
“Dia bukan tak cukup tidur. Kalau saya ke pasar, saya pergi seorang diri. Saya tak kejut dia, saya bagi dia rehat cukup sebab dia perlu memandu.
“Waktu malam pula saya yang memandu. Dia pun tak larat nak buat kerja berat, jadi saya yang uruskan,” katanya.
Mengulas isu usia dan keadaan kesihatan suaminya, Reena berkata, seseorang tidak seharusnya berhenti berusaha selagi masih mampu mencari rezeki.
“Tak kira umur berapa pun, kalau Allah nak uji dengan sakit, Dia akan uji juga. Hidup mesti diteruskan.
“Di kampung saya pun ramai yang masih bekerja walaupun sudah berusia. Kita tak boleh bergantung sepenuhnya kepada anak-anak,” katanya.
Reena membuat penjelasan itu selepas menerima pelbagai komen netizen yang mendakwa Aman sepatutnya berehat kerana faktor usia dan kesihatan.
Sebelum ini, Reena turut berkongsi keadaan Aman yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani selepas mengalami batuk, demam dan sakit kepala, selain disyaki mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Isu itu turut menjadi perhatian selepas anak Aman, Nurul Dayini Ashiqah, meluahkan rasa tidak puas hati di Threads mendakwa bapanya dipaksa bekerja meskipun sedang sakit teruk.
Nurul Dayini ialah hasil perkahwinan Aman bersama bekas isterinya, penyanyi Mas Idayu.