Kuala Lumpur : Pelakon Siti Khadijah Halim mengakui kurang selesa menjayakan babak berkemban dalam filem Khadam sehingga meminta pihak produksi menyediakan kardigan khas bagi menjaga penampilannya tanpa menjejaskan tuntutan watak.

Siti Khadijah, 29, berkata dia sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pihak produksi sekiranya terdapat babak atau kostum dirasakan kurang sesuai dengan prinsip yang dipegangnya.

“Memang ada babak berkemban dan mereka ada tanya saya sama ada okey atau tidak. Sudah tentu saya tak okey, jadi saya bertanya sama ada boleh tutup atau lapik dengan sesuatu.

“Kita juga mahu nampak realistik. Jadi apa yang mereka boleh buat adalah menyediakan kardigan khas untuk saya,” katanya ketika ditemui pada Sesi Tayangan Khas Media filem Khadam, semalam.

Menurutnya, dia berharap penonton memahami keputusan yang dibuat bagi menyesuaikan babak itu dengan keselesaan dirinya sebagai pelakon.

“Saya harap bila netizen tengok filem ini nanti, mereka faham kenapa ada kardigan itu. Memang zaman dulu tak ada kardigan, tetapi ia diwujudkan bagi memenuhi keperluan penggambaran.

“Saya juga seorang yang menjaga penampilan dan tak pernah berlebih-lebihan. Jadi apabila ditawarkan babak berkemban, memang saya akan letakkan syarat tertentu,” katanya.

Menurut Siti Khadijah lagi, pendirian sama turut diamalkannya dalam projek lain yang memerlukan penampilan lebih mencolok mata.

“Kalau ada kostum yang terlalu ketat atau seksi, saya akan minta supaya ditukar. Rasanya orang yang pernah bekerja dengan saya pun sudah tahu mengenai perkara itu.

“Tetapi kalau ia benar-benar tuntutan kerja atau watak, saya akan cuba berbincang. Bagi saya semua perkara boleh dibincangkan dan dicari jalan tengah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti turut menyifatkan penglibatannya dalam Khadam sebagai pengalaman yang cukup bermakna kerana ia adalah filem seram pertama yang sudah lama diidamkan untuk dilakonkannya.

Katanya, meskipun terdapat beberapa babak mencabar termasuk adegan menggunakan parang sebenar, pengalaman bekerja dalam suasana positif bersama barisan pelakon dan kru membuatkan proses penggambaran berjalan lancar.

“Saya memang idamkan untuk berlakon dalam filem seram yang berkualiti dan cantik. Bila bekerja dalam suasana yang positif dan membangun, semuanya jadi lebih menyeronokkan,” ujarnya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *