PUTRAJAYA: Dalam kesibukan melakar nama di pentas seni, penyanyi dan pelakon, Alyssa Dezek membuktikan sinarnya tidak hanya terpancar di layar, malah turut gemilang dalam bidang akademik apabila dinobatkan sebagai pelajar cemerlang pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, kelmarin.
Alyssa mengakui berasa segan, namun bangga dengan pencapaian itu, apatah lagi sebagai ikon kepada peneraju pendidikan digital, PTTI.
“Saya segan sebab orang meletakkan jangkaan tinggi apabila saya sudah jadi ikon PTTI. Namun, alhamdulillah tahun ini saya dapat buktikan PTTI memang pusat tuisyen yang sangat bagus dan banyak membantu saya,” katanya.
Alyssa berkata, kunci kejayaannya adalah kebolehan mengurus masa dengan baik antara pelajaran dan kerjaya seni, terutama ketika berada di Tingkatan Lima.
“Saya perlahankan sedikit kerjaya seni dan tidak ambil kerja berat supaya lebih fokus pada pelajaran. Ibu bapa juga mahu saya beri tumpuan sepenuhnya pada tahun akhir persekolahan.
“Jika ada penggambaran, saya akan ketinggalan dan perlukan bantuan pusat tuisyen untuk mengejar semula pelajaran,” katanya.
Berkongsi perancangan masa depan, Alyssa berkata dia bakal menyambung pengajian dalam jurusan perniagaan.
“Saya akan mengambil asasi dalam bidang perniagaan sebelum menyambung ke peringkat ijazah. Ia selari dengan minat dan kerjaya saya,” katanya.
Alyssa merancang untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan terlebih dahulu sebelum menyambung ke luar negara.
Dalam masa sama, Alyssa tidak bercadang meninggalkan dunia seni, sebaliknya mahu mencari keseimbangan antara pelajaran dan kerjaya.
“Bila di luar negara nanti, saya akan lihat keadaan dan cuba seimbangkan. Buat masa sekarang, saya mahu kembali aktif dalam industri,” katanya.
Alyssa turut berkongsi, motivasi diri dan persekitaran positif menjadi pemangkin kejayaannya.
“Kita perlu ada motivasi untuk belajar. Selain itu, penting juga ada kawan yang sama-sama mahu berjaya.
“Jika dikelilingi kawan yang malas, sukar untuk kita maju,” katanya.
Tambahnya, sokongan keluarga dan guru memainkan peranan besar dalam kejayaannya.
Pada Ahad lalu, Alyssa diumumkan antara pelajar cemerlang PTTI selepas berjaya memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
PTTI Group Sdn Bhd turut melahirkan 534 pelajar ‘Straight A’ bagi peperiksaan sama, sekali gus menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) buat kali ketiga selepas 2022 dan 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, sebanyak 31,987 gred A direkodkan oleh pelajar di bawah bimbingan mereka.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Pertumbuhan PTTI, Race Monsopiad atau Sir Race memaklumkan lebih 158,000 pelajar mendapat manfaat daripada seminar sepanjang 2025.
“Bersempena pencapaian ini, PTTI akan menganjurkan Seminar Percuma SPM di seluruh negara bermula 4 hingga 10 Mei ini,” katanya.
Terdahulu, lebih 4,000 pelajar bersama ibu bapa hadir ke PICC bagi memeriahkan Majlis Anugerah Inspirasi 2026.
Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi sesi pagi, manakala sesi petang disempurnakan Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Kedua-dua tokoh turut menyampaikan ucapan inspirasi kepada pelajar dan ibu bapa yang hadir.
Acara turut diserikan kehadiran tokoh dan selebriti tanah air termasuk Datuk Wira Dr Azizan Osman, Datuk Awie, Datuk M Nasir, Datuk AC Mizal, MK K-Clique, Iman Troye, Hael Husaini, Bella Astillah dan Zaki Yamani.