London: Bintang pop, Britney Spears, mengaku bersalah atas pertuduhan yang lebih ringan selepas ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di California baru-baru ini.

Penyanyi berusia 44 tahun itu tidak hadir ke perbicaraan di Mahkamah Ventura County pada Isnin, namun peguamnya membuat pengakuan bersalah bagi pihaknya terhadap pertuduhan lebih ringan, sekali gus membolehkannya mengelak hukuman penjara, kata jurucakap mahkamah.

Melalui tawaran pengakuan tersebut, Britney akan menjalani tempoh percubaan selama setahun dan dikenakan denda. Ia adalah prosedur biasa bagi tertuduh yang tiada rekod kesalahan memandu di bawah pengaruh (DUI), kemalangan jalan raya serta mempunyai paras alkohol dalam darah yang rendah.

Menurut Pejabat Pendakwa Raya Ventura County, pendekatan ini lazimnya diberikan kepada tertuduh yang menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki diri dan mendapatkan rawatan.

Pertuduhan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas penyanyi popular itu secara sukarela memasuki pusat pemulihan.AdvertisementPowered by:00:00

Penyanyi lagu Toxic itu, yang memiliki kediaman di kawasan berkenaan, ditahan pada 5 Mac selepas dilihat memandu dalam keadaan tidak stabil dengan kereta BMW 430i hitam miliknya.

Polis memaklumkan Britney menunjukkan tanda-tanda berada di bawah pengaruh dan menjalani beberapa ujian ketenangan di lokasi selepas ditahan.

Pendakwa raya daerah, Erik Nasarenko memaklumkan Britney bertanggungjawab atas kesalahan ini dengan membuat pengakuan bersalah pada peringkat awal, kira-kira dua bulan selepas penahanannya.

“Memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol secara cuai dan tidak stabil adalah kesalahan serius yang membahayakan semua pengguna jalan raya.”

Beliau turut diarahkan menyertai program pesalah pertama DUI selama tiga bulan serta menjalani ujian kimia bagi mengesan alkohol dan/atau dadah ketika memandu.

Britney juga diwajibkan meneruskan rawatan penyalahgunaan bahan.

“Matlamat kami bukan sekadar memastikan individu bertanggungjawab, tetapi juga menyokong perubahan tingkah laku jangka panjang melalui rawatan dan pemulihan,” tambahnya.

“Mahkamah menetapkan syarat-syarat itu. Kini terpulang kepada Britney untuk mematuhinya.”

Pada 2007, penyanyi kelahiran Mississippi itu turut mengelak perbicaraan kes langgar lari selepas membayar ganti rugi, susulan insiden melanggar sebuah kenderaan ketika cuba meletakkan kereta di sebuah parkir di California.

Sepanjang kerjayanya, beliau meraih enam single nombor satu di United Kingdom dan lapan album dalam kelompok 10 terbaik, selain bekerjasama dengan artis seperti Madonna, Rihanna, Iggy Azalea dan Backstreet Boys.

Terbaharu, Britney melancarkan kolaborasi bersama Elton John pada 2022, dan seterusnya bekerjasama dengan anggota Black Eyed Peas, Will.i.am menerusi lagu berjudul “Mind Your Business” pada 2023.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *