BAGI meraikan musim haji dan Aidiladha tahun ini, TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama dengan pelbagai program berteraskan ilmu.

Sebagaimana rangkaian program ilmiah pada tahun-tahun sebelumnya yang disusun, penghayatan rohani serta laporan semasa dari Tanah Suci menemui penonton TV AlHijrah bermula 20 April lalu sehingga penghujung Mei ini.

Justeru, tema kempen dipilih untuk musim haji tahun ini ialah Arafah: Puncak Munajat & Harapan yang memuatkan pengisian program istimewa bagi menzahirkan kemuliaan perjalanan ibadah haji seluruh umat Islam yang menjadi tetamu Allah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pelbagai kandungan khas menarik disediakan yang menepati cita rasa untuk tontonan masyarakat Islam tanah air sempena musim haji setiap tahun.Advertisement

Menurutnya, sebagai stesen televisyen patuh syariah adalah menjadi cabaran dan tanggungjawab utama TV AlHijrah memastikan setiap kandungan siaran sudah diteliti sebaik-baiknya mengikuti apa diinginkan oleh penonton.

“Kita sedia maklum pasaran penonton TV AlHijrah adalah masyarakat Muslim. Apatah lagi, bagi program berkaitan ibadah haji semestinya perlu berteraskan ilmu dan penghayatan rohani.

“Seiring dengan tema Arafah: Puncak Munajat & Harapan itu sudah pasti perlu ada kaitan dengan keinsafan di bumi Arafah serta pengharapan umat Islam kepada rahmat dan keampunan Allah.

“Justeru, saya percaya program musim haji yang TV AlHijrah sediakan kali ini akan memberi pengalaman menonton yang memenuhi kehendak penonton,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Majlis sama turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Mohd Yusof Mohd Noor atau lebih dikenali Abang Minyak Hitam Jalanan yang kisahnya tular di media sosial.

Mohd Yusof menerima hadiah berupa penajaan pakej umrah untuk dua orang rentetan perhatian ramai selepas tindakannya membantu pemuda Cina, Dicky Yau yang mengalami rantai motosikal putus di jalan raya pada tengah malam tanpa mengambil caj bayaran.

Sementara itu, untuk kempen musim haji ini dimulakan dengan program Interaktif Haji yang bersiaran sejak 20 April lalu, setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam.

Ia membawakan kefahaman ibadah haji secara jelas, tepat dan praktikal kepada penonton yang dikendalikan pengacara Zaim Zamani bersama Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf dengan diperkasa integrasi digital secara langsung.

Selain itu, ditampilkan juga Kisah Mutawif pada setiap Khamis dan Jumaat, jam 10 malam bersama Ustaz Izzhar Nazri yang menyingkap pengalaman sebenar pembimbing jemaah di tanah suci merangkumi pengorbanan dan kesabaran.

Diikuti program Diari Labbaikallah mulai 11 Mei pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dengan memuatkan laporan semasa secara langsung dari Makkah, termasuk suasana ibadah haji, pergerakan jemaah dan detik penting sepanjang musim haji.

Menjelang kemuncak perjalanan ibadah haji pula pastinya terarah kepada siaran langsung Munajat Arafah pada 26 Mei, jam 5 petang yang menampilkan tausiyah, zikir, munajat dan alunan ayat suci al-Quran bersama barisan pendakwah terkenal.

Pada hari sama (26 Mei), TV AlHijrah juga menyiarkan secara langsung Khutbah Arafah 2026 yang disampaikan Dr Zulkifli dari Makkah pada jam 7 malam (waktu Malaysia).

Siaran langsung khutbah ini akan ditayang di semua platform media sosial rasmi TV AlHijrah seperti Facebook dan TikTok untuk bersama menghayati Hari Arafah.

Bagi meraikan ketibaan Aidiladha, dibawakan juga program Peristiwa Hari Tasyrik yang bersiaran tiga hari iaitu pada 28, 29 dan 30 Mei, jam 9 malam.

Program khas ini mengupas makna dan hikmah tiga hari Tasyrik yang sering terlepas pandang, termasuk kepentingan memperbanyakkan zikir, mensyukuri nikmat serta menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Sepanjang musim haji kali ini, program bual bicara Assalamualaikum akan terus menyiarkan segmen khas setiap hari jam 7 pagi.

Begitu juga, Berita AlHijrah akan menampilkan laporan harian musim haji pada jam 8 malam dengan perkembangan terkini berdasarkan sumber sahih termasuk Lembaga Tabung Haji serta pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *