Petaling Jaya: Persatuan industri kreatif perlu memainkan peranan utama dalam menyuarakan isu kebajikan ahli mereka seperti isu tempoh kerja melebihi 12 jam yang sedang tular di media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya menerima aduan rasmi mengenai isu terbabit, namun jumlahnya agak rendah.
Menurutnya, biarpun isu berkenaan ditularkan di media sosial, bilangan penggiat seni yang tampil mengemukakan aduan rasmi kurang kerana mungkin bimbang dikenakan tindakan atau hilang punca pendapatan.
“Aduan rasmi memang kurang, tetapi kita tahu perkara itu banyak berlaku di lapangan. Ramai pekerja enggan buat aduan rasmi kerana takut terjejas tawaran kerja daripada penerbit pada masa hadapan.
“Oleh itu, persatuan patut ambil peranan bersuara bagi pihak ahli mereka. Nama pengadunya boleh dirahsiakan, sebaliknya persatuan yang tampil mengetengahkan isu berkenaan kepada FINAS,” katanya.
Azmir berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi perbincangan bersama pemimpin persatuan penerbit dan pekerja filem, di sini, semalam.
Azmir menegaskan FINAS komited menangani isu kebajikan pekerja industri kreatif dengan memasukkan syarat baharu dalam Surat Perakuan Produksi (SPP) menerusi Peraturan Pelesenan baharu yang dijangka diluluskan kementerian pada tahun ini.
Katanya, biarpun peraturan itu tidak dijadikan sebagai undang-undang khusus, ia bertindak sebagai syarat wajib dalam permohonan SPP seperti syarat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kontrak kerja.
“Menerusi syarat baharu ini, sekiranya ada aduan sah mengenai isu kerja lebih masa dan dipanjangkan ke peringkat atasan, FINAS boleh mengambil tindakan menyekat permohonan SPP penerbit terbabit.
“Kita juga mahu syaratkan setiap pemohon SPP yang mempunyai contohnya 100 pekerja, kesemua mereka mesti mempunyai kontrak kerja. FINAS sudah menyediakan ‘template’ (kerangka asas) kontrak secara percuma untuk memudahkan syarikat produksi,” katanya.
Dalam pada itu, Azmir memaklumkan pelaksanaan peraturan baharu pelesenan merangkumi empat segmen utama termasuk syarat wajib tayang, lesen dan pengedaran akan dibuat secara berperingkat bagi membolehkan industri menyesuaikan diri.
Azmir turut menambah, langkah kesedaran mengenai hak pekerja dan peraturan industri akan turut diperluaskan ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kita dapati ramai graduan baharuyang mahu memasuki industri tidak peka mengenai keperluan lesen dan permit.
“Pendedahan asas ini perlu dimasukkan ke dalam silibus pengajian supaya mereka keluar kelak sebagai tenaga kerja yang lebih profesional,” katanya.
Katanya, FINAS bercadang mengadakan sesi Town Hall berskala lebih besar bersama warga industri perfileman tidak lama lagi bagi mendengar pelbagai isu berbangkit lain seperti drama mikro, isu bayaran serta krisis bersama klien.