Nama kumpulan rock seperti Sofea, May, Bloodshed dan Wicitra adalah antara pemain utama dalam era ‘rock kapak’ sekitar pertengahan 1980-an hingga pertengahan 1990-an.

Zaman berkenaan sering dianggap ‘Zaman Keemasan Rock Malaysia’ di mana muzik rock menguasai carta lagu, corong radio dan konsert di seluruh negara.

Biarpun era itu sudah berlalu, lagu-lagu mereka kekal ‘evergreen’ dan terus menjadi pilihan ramai sekarang apabila masih diputarkan di radio dan menjadi pilihan di platform TikTok.

Terkini, peminat rock kapak bakal disajikan dengan pengalaman konsert unik dan berbeza menerusi Konsert Rock Car Park di Rooftop Campbell Complex, Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei depan.

Konsert yang akan berlangsung di atas bumbung bangunan di lot parkir ini menjanjikan pengalaman berbeza buat peminat muzik rock tempatan, sekali gus menghidupkan kembali semangat muzik era tanpa gajet yang suatu ketika dahulu menjadi hiburan ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Nyla Network, Mustaqim Zainal berkata, Rock Car Park bukan sekadar sebuah konsert hiburan, sebaliknya satu gerakan untuk menyemarakkan kembali ekosistem muzik rock tempatan.

Menurutnya, konsert Rock Car Park membawa roh kelepasan dan keberanian yang pernah menjadi nadi kepada perkembangan muzik rock di negara ini.

KUMPULAN SOFEA hadir ketika sidang media di Rooftop Campbell Complex, Jalan Dang Wangi. FOTO Amiruddin Sahib
KUMPULAN SOFEA hadir ketika sidang media di Rooftop Campbell Complex, Jalan Dang Wangi. FOTO Amiruddin Sahib

“Kami mahu menyediakan satu platform yang mempertemukan penggiat muzik rock daripada pelbagai generasi, di samping menghimpunkan peminat dalam satu pengalaman yang segar dan bermakna.

“Kami sedar kemungkinan cuaca hujan pada malam konsert. Justeru, aspek keselamatan menjadi keutamaan kami, terutamanya melibatkan struktur pentas dan peralatan elektrik.

“Alhamdulillah, selepas perbincangan bersama kontraktor pentas, kami yakin tahap keselamatan berada pada paras terbaik,” katanya.

Menurutnya, persembahan akan bermula jam 4 petang dan dijadualkan berakhir sekitar jam 11 malam.

“Kami menyasarkan kehadiran sehingga 5,000 penonton, selari dengan kapasiti maksimum lokasi dengan mengambil kira aspek keselamatan,” katanya.

Sementara itu, pemain bass kumpulan May, Yus memaklumkan mereka akan mempersembahkan lagu-lagu ikonik kumpulan rock asal Ipoh, Perak buat peminat.

“May masih ada dan lagu-lagu May memang akan dibawakan. Tiada isu berkaitan repertoire kerana ini adalah muzik kami sendiri.

“Apa yang penting, kami mahu semua yang hadir menikmati persembahan dan pulang dengan rasa puas,” katanya.

Sementara itu, penganjur turut menawarkan pakej istimewa tiket bersama kasut edisi khas jenama tempatan Fung Keong (FK) pada harga promosi terhad.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *