BANYAK kali pun menonton konsert penyanyi legenda Bryan Adams, sukar disangkal aura dan pesonanya meskipun sudah berada pada usia emas. Bisanya atas pentas masih menyengat.

Adams, 67, kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi Konsert Bryan Adams: Roll with the Punches di Idea Live Arena, Petaling Jaya, baru-baru ini dengan energi sama.

Konsert bersempena album baharunya bermula tepat jam 8 malam dengan kemunculannya di tengah-tengah penonton. Santai, namun vokalnya ampuh, dia menyampaikan dua lagu secara akustik.

Penyanyi kelahiran Kanada itu kemudian terus naik ke pentas utama untuk memanaskan aksi dengan lagu ‘rock and roll’ bertenaga selepas sesi pembukaan intim bersama peminat setia.

Walaupun visual fizikal mungkin nampak berumur, cara dia memberi tenaga di atas pentas persis orang muda membabitkan persembahan cukup mengujakan sepanjang malam itu.

“Apa khabar semua? Nama saya Bryan, banyak lagu saya mahu nyanyi untuk kamu dan cuba semua memandangkan saya sudah ada 17 album penuh.

“Saya suka menyanyi macam bercerita santai dengan kamu semua malam ini sambil bertukar-tukar gitar di atas pentas supaya persembahan kita menjadi lebih menarik,” katanya.

Suasana dewan turut diserikan belon gergasi berbentuk sarung tinju dan kereta terapung di atas kepala penonton sewaktu dia mendendangkan lagu-lagu hits popular kegemaran ramai peminat.

“Kadang-kadang sangat ‘cool’ berdiri di atas sini dan tengok setiap wajah kamu hadir memberikan sokongan padu kepada konsert jelajah istimewa saya pada malam ini,” katanya.

Secara jujurnya vokal serak-serak basah milik Adams kedengaran mantap selain mampu mencapai nota tinggi dengan cukup baik.

“Kenapa kamu diam sahaja, adakah kamu terpegun atau sedang menikmati muzik indah ini sehingga terlupa untuk bersorak kuat bersama saya sekarang?” katanya.

Majoriti penonton hadir adalah golongan berusia dan peminat-peminat lama yang setia mengikuti perjalanan seni Adams sejak awal kemunculan dalam industri muzik antarabangsa, suatu ketika dahulu.

“Saya amat menghargai kehadiran peminat setia walaupun sudah bertahun lamanya berkecimpung dalam dunia seni suara ini demi menghiburkan hati kamu semua di sini,” katanya.

Dia turut memberi laluan kepada anggota bandnya untuk menunjuk taring masing-masing bermain gitar serta memukul dram dengan gaya memukau.

Aksi lincahnya serta vokal berbisa membuktikan usia hanyalah angka kerana dia berjaya mengekalkan momentum hebat dari awal konsert sehingga ke penghujung acara terbabit.

“Terima kasih kerana sudi hadir dan ‘roll with the punches’ bersama saya, semoga kita berjumpa lagi di masa hadapan dengan memori indah ini,” katanya.

Pada malam itu, Adams mendendangkan semua lagu hitnya, antara (Everything I Do) I Do It for You, Can’t Stop This Thing We Started, It’s Only Love, Summer of ’69, Have You Ever Really Loved a Woman? dan Please Forgive Me.

Jelajah pertamanya di Asia bermula di Jepun, diikuti Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura. Kemudian dia akan ke Arab Saudi sebelum bersambung ke Amerika Selatan serta Afrika.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *