SEBAGAI artis Jojo’s Production, Exists diberikan pendedahan demi pendedahan dalam mengadakan persembahan pentas dan boleh dikatakan sudah mempunyai peminat sendiri.

Manakala dari sudut kemahiran pula, mereka diberikan latihan secukupnya sebelum masuk studio untuk rakaman album pertama terbitan komposer Allahyarham Rahim Othman.

“Kami buat sendiri susunan muzik untuk album berjudul Exist. Rakaman dibuat di Form Studio, Singapura. Dalam masa sebulan lebih sahaja kami siapkan album itu.Advertisement

“Kami main sendiri muzik tanpa guna pemuzik undangan. Sebabnya sebelum masuk studio rakaman, kami dah jumpa dengan abang Rahim.

“Dia sudah ‘check’ semua, dia bagi tunjuk ajar, macam mana proses rakaman dan sebagainya. Bila sudah masuk studio, jadi mudah sikit. Kami pun dah berlatih berhabis-habisan,” katanya.

Along tidak menafikan mereka berstatus pelajar, namun tidak pernah mengabaikan pelajaran.

“Pelajaran berjalan macam biasa. Bila cuti sekolah atau hujung minggu baru kami pergi ‘jamming’. Rakaman pun dibuat lepas waktu sekolah.

“Kami masuk Singapura pada waktu petang selepas balik sekolah dan tengah malam balik semula ke Johor sebab esoknya bersekolah. Memang tak ganggu waktu belajar.

“Ketika rakaman album pula, kami takut kerana masuk dalam studio, tengok jurutera mat salih yang bertugas. Dia punya seram itu lain macam, tapi kami tetap tenang,” katanya.

Ujang adalah anggota pertama yang merakam bahagian dram dan selepas itu baru Along selaku gitaris dan anggota lain dapat merasakan ‘vibe’ merakam album.

“Selepas itu kami ikut rakam bahagian masing-masing. Semuanya bekerja secara profesional tanpa ada sebarang masalah. Abang Rahim pun tak pening kepala, senang bekerja.

“Abang Rahim tak garang, tapi dia teliti. Dia memang nak semua sempurna. Seingat saya dia tak ada marah-marah, cuma dia bagi pelepasan macam mana nak buat.

“Proses rakaman hanya ambil masa sebulan. Dulu memang cepat buat album walaupun hanya guna teknologi analog, bukan digital macam sekarang.

“Kami rakam cukup-cukup 10 lagu. Kalau tak silap saya, lagu pertama yang kami rakam ialah Rahsia Pohon Cemara. Album itu ada juga lagu kami seperti Sebelum Terlewat, Kerana Cinta, Gema Muzik dan Kuman H.I.V,” katanya.

Along mengakui tidak berdebar ketika album sulung Exists berada di pasaran. Bagaimanapun, dari situ, pelajar sekolahnya mula menyedari dia adalah artis.

“Masa itu zaman sekolah kita tak terfikir macam eh aku nak buat album dan tiba-tiba nak keluar. Namun, bila album keluar, ada yang mula perasan.

“Mereka tanya ‘eh kau ada main muzik ke, main band ke, apa aku nampak kat TV dan dengar lagu kat radio’? Perasaan saya sudah lain macam sebab orang sudah mula perhati tindak-tanduk.

“Selepas itu kami buat kemunculan pertama dalam Muzik-Muzik 1991 dan lagu Exists meletup. Cikgu pun panggil minta album, pelajar lain pun mula ramai berkawan dengan saya,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *