Kuala Lumpur : Kebimbangan dalam kalangan sesetengah penggiat seni khususnya pencipta dan penulis lirik apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan bagi mengubah semula lagu asal kepada pelbagai genre.

Tinjauan di media penstriman seperti YouTube mendapati banyak lagu termasuk berentak asli, zapin atau irama 60-an digubah semula dengan hanya menggunakan teknologi berkenaan.

Situasi berkenaan turut diluahkan pemain gitar kumpulan Spring, Zaha menyifatkan karyawan seni terpaksa berdepan cabaran AI dalam menghasilkan karya lebih bermutu.

Pada pandangannya, untuk jangka masa pendek, AI memudahkan kerja selain menjimatkan masa apabila penciptaan lagu tunggal (single) yang biasanya mengambil masa seminggu kini boleh disiapkan dalam tempoh lima minit.

“Namun, apabila kita sudah terbiasa bergantung kepada AI, ia boleh mengurangkan kebergantungan terhadap keupayaan manusia.

“Bayangkan jika bergantung sepenuhnya kepada AI dalam penghasilan karya seni, adakah pencipta AI boleh menuntut royalti bahagian mereka selain isu hak cipta? Apabila ini berlaku, kita umpama robot yang bekerja tetapi tidak mendapat hasil,” katanya.

Zaha berkata, kebergantungan kepada AI yang tidak dikawal boleh menyebabkan manusia pupus daya fikir dan usaha, sekali gus menjadikan industri seni suram serta tidak bermaya.

Katanya, ketika ini ada pihak cuba menafikan keburukan AI, namun bagi mereka yang berfikiran jauh, kesan jangka masa panjang sudah mula dirasai.

“Banyak lagu digubah semula oleh AI termasuk daripada kumpulan Spring sendiri. Persoalannya, adakah lagu ini berhak menerima royalti dan boleh dituntut biarpun mendapat sambutan?

“Bagi pencipta, adakah ini satu kerugian sekiranya lagu yang digubah semula oleh AI tidak berhak menerima royalti?” katanya.

Secara peribadi, beliau menegaskan tiada hasil seni yang boleh diberikan percuma dan sekiranya tiada pembayaran royalti, ia sesuatu yang amat malang khususnya kepada pencipta asal.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *