PERJALANAN seni yang menjangkau lebih dua dekad setengah bukan satu tempoh yang singkat, namun kumpulan rock legenda, Kristal, membuktikan mereka tetap ampuh meredah arus zaman.

Bagi meraikan legasi yang bermula sejak 25 tahun lalu, satu malam istimewa bakal tercipta menerusi penganjuran Kristal OG Concert – 25 Tahun Dalam Satu Malam, di Zepp KL yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini.

Konsert dianggap sebagai satu naskhah sejarah buat industri muzik tanah air apabila bakal menghimpunkan semua generasi dalam album kumpulan itu di atas satu pentas ikonik.

Mengimbas kembali memori, semuanya bermula daripada impian sederhana sekumpulan anak muda yang melangkah tanpa sorotan lampu glamor mahupun jaminan kejayaan pada dua dekad yang lalu.

Semangat yang tidak pernah luntur itu akhirnya meletakkan Kristal sebagai antara kumpulan rock yang meninggalkan kesan mendalam dalam landskap muzik tempatan sehingga ke hari ini.

Bekas vokalis kumpulan Kristal, Lan berkata, konsert yang bakal diadakan itu adalah dedikasi khas buat peminat untuk mengimbau nostalgia menerusi seleksi lagu yang membesar bersama mereka sepanjang tempoh terbabit.

“Konsert kali ini sangat istimewa berbanding persembahan kami sebelum ini. Kami akan tampil dengan penuh bertenaga serta membawakan lagu-lagu yang pernah dirakamkan daripada album pertama sehingga album ke-13,” katanya.

Menurut Lan, konsert itu juga menjadi platform untuk meraikan karya daripada semua era perjalanan Kristal termasuk lagu yang dirakam ketika dianggotai barisan ahli yang berbeza.

“Lagu dalam album itu termasuk karya yang dirakam ketika Kristal turut dianggotai ahli lain seperti Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Ejan dan ramai lagi yang menjadi keluarga besar kami.

“Semua lagu tersebut akan kami bawakan di pentas Konsert Kristal OG nanti,” katanya lagi.

Lan menyifatkan perjalanan 25 tahun Kristal sebagai satu kisah jatuh bangun yang penuh cabaran, namun tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus berkarya demi peminat setia.

Selain itu, Lan turut berkongsi walaupun ahli kumpulan silih berganti sepanjang penghasilan 13 album, identiti, konsep dan genre muzik Kristal tetap kekal konsisten.

“Pelbagai cabaran, dugaan, sedih dan gembira kami lalui bersama, tetapi semua itu menjadikan Kristal terus kuat dan kekal relevan sehingga ke hari ini,” kongsinya.

Pada malam penuh bersejarah itu nanti, barisan pemuzik yang akan beraksi terdiri daripada Napie (pemain gitar 1), GG (pemain gitar 2), Amai (pemain bass), Acap (pemain drum 1), Joe (pemaian dram 2), Ejan (pemain drum 3) dan Ayop (pemain papan kekcunci) selain Lan sendiri.

Menariknya, peminat bakal disajikan dengan persembahan bertenaga menerusi 40 lagu ikonik yang dipetik daripada keseluruhan album yang pernah dihasilkan sepanjang kerjaya mereka.

PERJALANAN 25 tahun kumpulan Kristal sebagai satu kisah jatuh bangun yang penuh cabaran.
PERJALANAN 25 tahun kumpulan Kristal sebagai satu kisah jatuh bangun yang penuh cabaran.

Antara lagu utama yang bakal dipersembahkan kepada peminat ialah Segmen Tribute, ‘Tribute To Sifu Awie’, serta rangkaian lagu popular seperti Ratuku, Di Penjara Janji, Bara, Tragedi Oktober, Terima Kasih dan beberapa segmen khas.

Tidak ketinggalan, keunikan konsert turut ditonjolkan menerusi Segmen 3 ‘Drummer’ yang bakal menampilkan lagu Layar & Sambar, Kasut Terbang serta Esok Belum Pasti.

Lagu kegemaran ramai lain seperti Delaila, Memburu Impian, Seragam Hitam 2020, Bersalin Kulit, Dejayu, Macam Kentang, Tak Naik Tocang dan Motor Satu Roda juga bakal bergema di ruang konsert ini nanti.

Dianjurkan Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event, tiket menyaksikan konsert sudah mula dijual.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *